15.9.09

Perjalanan Ke Negeri Ibu Kandung

 
Perjalananku ke kampung pada Jumaat ini akan melalui sebahagian jalan ini iaitu Lebuh Raya Grik.Langkah kami akan bermula pada jam 6.00 pagi melalui Lebuhraya PLUS. Seterusnya kami akan menyelusuri laluan melalui Gurun menuju Sik/Baling. Dari sini perjalanan diteruskan sehingga melalui lebuhraya Kupang-Grik yang tidak kurang mencabar ketahanan mata. Sehabis lebuhraya Kupang-Grik iaitu satu-satunya laluan di negara ini yang mempunyai tanda amaran rusa melintas (tapi aku tak pernah jumpa seekor rusa pun), simpang ke Grik dan ke Kota Baharu akan menyambutku. Dari sini bermulalah cabaran sebenar perjalanan selama 12 jam ke Kemaman, Terengganu. Di atas permatang Banjaran Titiwangsa, tumpuan harus diberikan sehabis mungkin. Banyak cabaran yang harus ditempuhi. Jikalau cuaca sejuk, kabus akan menutup sebahagian jalanraya.Itu belum lagi kalau bernasib baik terjumpa "Fumakilla" (sang gajah).Pendek kata laluan ini memang mengasyikkan. Seterusnya fasa kedua perjalanan ini akan dimulai dari Jeli ke simpang Pasir Putih. Kebanyakan penduduk di sini tidak mengambil berat soal keselamatan. Aku berpengalaman melalui beberapa kejadian yang hampir mencetuskan suasana yang cemas.Perlu lebih berhati-hati agar perjalanan kita akan berjalan lebih lancar. lebih kurang pukul 4.00 petang, kami akan tiba di KualaTerengganu untuk melengkapkan fasa ketiga perjalanan ini. Dari KT ke Kemaman memakan masa lebih kurang 3 jam. Bukannya jem sangat tetapi terlalu banyak lampu isyarat namun berbaloi dengan pemandangan perkampungan tradisi orang Terengganu yang menggamit nostalgia. Akhirnya, dalam lindunganNya, kami sampai di Kemaman dalam pukul 7.00 malam. Setiba di rumah, sudah pasti kami akan disambut dengan suara adik beradik yang begitu menantikan kepulangan kami. Insyaallah dengan doa, perjalanan ini akan sentiasa di bawah lindunganNya. Aku bertawakal dalam apa jua situasi yang bakal muncul. Doakan aku selamat pergi dan kembali semula ke tanah ibu angkatku, negeri Kedah Darul Aman. Aku hanyalah anak Terengganu yang rezekinya telah ditetapkan di bumi bertuah padang emas. Dari aroma asin laut, kini aku menghidu wangi lemak padi menguning di padang emas. Begitulah kita, berkelana di muka bumi demi mencari sesuatu untuk meneruskan hidup. Akhirnya, kita akan kembali jua ke pangkuan ibu kandung tanah air sendiri.

2 ulasan:

kuIna LadyInRed berkata...

Gurun -Sik- Baling
ikut jalan Jeniang ke Parit Panjang.. keluar ikut Kuala Pegang.. lepas Mardec masuk Jln Ke Grik... tp klu ikut jln tu tak lalu tasek banding dah...

Tanpa Nama berkata...

Maaf ya. Masih lalu lagi tasik tu. Kulna mungkin tersasul sikit. Cuma kita tak pening la sbb jln grik dah lurus.