20.3.10

Masjid Tertua di Kemaman


Kepulangan aku ke kampung baru-baru ini membawa sedikit cerita untuk dikongsi. Cerita tentang kampung asal kelahiranku iaitu Kampung Tuan, Kemaman. Siapa sangka dalam suasana hiruk-pikuk dan kepadatan penduduk bandar ini terdapat binaan tinggalan sejarah berusia lebih 100 tahun yang masih tersergam indah.Terselindung di sebalik rumah-rumah moden, sebuah masjid lama yang masih kukuh berdiri sama megah dengan bangunan baru lain di sekelilingnya.

Masjid Kampung Tuan, Chukai,  suatu ketika dahulu merupakan sebuah surau yang terletak di pinggir Sungai Limbong, Kampung Tuan.Namun disebabkan pertambahan penduduk, ia ditukar menjadi surau apabila banyak masjid baru yang lebih besar dibina bagi menampung keperluan penduduk di kawasan tersebut. Surau lama yang dibina pada tahun 1830 itu dibina oleh seorang guru agama berasal dari Pattani, Thailand, Syed Abdul Rahman Abdul Samad, yang melarikan diri ke sini akibat peperangan di negaranya.

Beliau mula membina surau tersebut bagi memudahkannya mengajar agama kepada penduduk kampung memandangkan kelasnya mendapat sambutan menggalakkan. Selepas kematiannya, tempatnya diambil alih anaknya yang dikenali sebagai Tuan Wok dan ketika itu Abdullah Munshi dikatakan pernah ke surau tersebut untuk bersembahyang.


Struktur binaan yang klasik serta sedikit mengikut tradisi surau lama di Siam membuktikan bahawa ia dibina oleh pendatang tersebut. Bumbungnya yang mempunyai empat lapis dengan menggunakan atap genting yang dibawa dari negara itu memberi suasana yang amat tenang apabila pertama kali melihatnya.

Selain itu, di atas bumbung pula diletakkan replika buah butung yang diperbuat daripada tembaga.
Difahamkan, replika buah butung itu dibina untuk diletakkan pada Masjid Keresek di selatan Thai tetapi pembinaan masjid itu tergendala lalu ia dibawa dan diletakkan di atas surau berkenaan. Yang menariknya, menurut cerita penduduk, pembinaan surau berukuran 9.14 meter x 9.14 meter ini diperbuat dengan hanya menggunakan sebatang kayu cengal yang besar yang ditemui di hutan berhampiran.

Tiada ulasan: