28.4.10

Seks di Sekolah

KUALA LUMPUR: Mata pelajaran pendidikan seks tidak akan diajar di sekolah, kata Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi.
Beliau berkata, ini kerana subjek itu yang lebih dikenali sebagai pendidikan kesihatan reproduktif dimasukkan dalam mata pelajaran pendidikan kesihatan dan subjek lain seperti biologi, sains, sains tambahan, pendidikan moral dan pendidikan Islam.

Justeru, katanya, kementerian dalam memantapkan pengajaran guru dalam subjek pendidikan kesihatan reproduktif dan sosial telah membuat persedian untuk melatih guru-guru di sekolah menengah dan rendah menjadi Jurulatih Utama (JU) di peringkat kebangsaan dan mereka ini akan melatih guru-guru di peringkat negeri.

"Kursus JU berhasrat untuk memberi pendedahan tentang pelaksanaan pendidikan kesihatan reproduktif dan sosial dan mencari pendekatan pengajaran dan pembelajaran (P&P) yang sesuai untuk diterjemahkan ke dalam P&P di dalam kelas seperti yang hasratkan dalam kurikulum," katanya ketika menjawab soalan Senator Doris Sophia Brodi di Dewan Negara hari ini.

Doris Sophia ingin tahu sama ada kerajaan bercadang untuk memperkenalkan subjek pendidikan seks di dalam kurikulum sekolah dan kajian yang dijalankan berkenaan subjek tersebut dan bila ia akan dilaksanakan.

Dr Mohd Puad berkata, peranan ibu bapa serta penerimaan masyarakat juga adalah penting bagi membantu guru dalam memastikan keberkesanan pelaksanaan kurikulum pendidikan kesihatan reproduktif ini kepada para pelajar.

"Sikap keterbukaan ibu bapa dalam membincangkan hal-hal berkaitan seksualiti dengan anak-anak mereka sendiri dan sokongan pihak-pihak lain kepada guru secara tidak langsung dapat membantu keberkesanan kurikulum ini di sekolah.

"Ini sekali gus dapat mengurangkan sensitiviti yang mengiringi isu seksualiti supaya ia diterima sebagai hakikat proses semulajadi yang perlu dilihat dalam perspektif tepat dan sihat," katanya.-Bernama 




mycaklempong : Fuh...lega. Kalau tidak, tak boleh nak bayang jika anak murid Tahun 1 tanya soalan "Cikgu, hubungan seks tu macam mana?". Budak-budak sekarang jangan kita tak tahu. Mereka ni kadang-kadang terlebih maju daripada kita dalam hal-hal tertentu.

Tiada ulasan: