26.5.10

Bila Lagi ?

Ada kawan aku tanya, "Hang pun ada blog ka?". Aku mengangguk. Dia bertanya lagi. "Pasai apa hang tulis dalam blog? Baguih sangat ka?, Hang tulih apa"?

Aku menulis dalam blog bukan untuk sesiapa. Nafsu untuk menulis memang tak boleh ditahan-tahan. Dengan tersebar luasnya blog ini, aku mengambil peluang untuk menggunakannya sebagai medium untuk aku menulis atau lebih tepat mencatat. Teringat pesan dari pensyarah aku dulu, Puan Mahaya Mohd Yassin, untuk menjadi penulis yang hebat, biasakan diri untuk mencatat walau sepatah perkataan pun. Daripada sepatah perkataan itulah ia berkembang menjadi sebuah novel.

Aku malu sebenarnya kerana sehingga ke hari ini tiada pun satu pun karya aku berjaya dibukukan walaupun aku banyak sekali menulis segala macam bentuk penulisan samada sajak, cerpen dan sekarang berjinak-jinak dengan novel. Pertemuan semulaku dengan seorang novelis muda, Ida Munirah Abu Bakar, banyak membangkitkan ghairahku untuk terus menulis. Cemburu melihat deretan novelnya di rak buku di toko-toko buku membuatkan aku bertekad untuk menghabiskan novel ini walaupun terpaksa menderita jiwa.

Sesekali bila pulang ke kampung halaman, menjenguk bekas guruku yang pernah menjadi mentor dalam bidang penulisan kreatif ini, Cikgu Mamat Jusoh, aku menjadi malu apabila dia sesekali menghamburkan pertanyaan, "Bila lagi ni? Lama dah cikgu tunggu". Tiada jawapan dariku melainkan tersenyum tawar. Oh jiwa...

Dengan adanya blog ini, aku mengharapkan agar aku tidak terus beku. Aku mengharapkan ghairah ku terus berkobar-kobar ,nyala rasa ku terus membuak-buak. Tiada henti.

Tiada ulasan: