28.8.10

Ada Apa Dengan Songkok?




Pemakaian songkok merupakan salah satu tradisi yang diamalkan oleh masyarakat Melayu sejak dulu lagi. Kebiasaannya, ia dipakai pada majlis-majlis tertentu seperti hari raya, perkahwinan, kenduri, acara pengebumian, solat dan pertabalan. Penutup kepala tradisional Melayu yang lebih dikenali sebagai songkok lazimnya dipakai bersama baju Melayu. Ia direka daripada kain kosong berwarna hitam atau bersulam yang diperbuat daripada kain kapas atau baldu.

Jangka hayat sebuah songkok boleh bertahan antara tiga hingga lima tahun jika ia dijaga dengan baik.
Proses membuat songkok yang paling sukar ialah untuk mencantumkan bahagian bumbung dan dinding songkok. Kedua-dua bahagian tersebut dilapisi dengan kertas akhbar lama yang banyak. Di bahagian dinding saja dilapisi dengan 12 helai kertas akbar bersaiz besar, manakala sebanyak 10 helai kertas saiz kompak digunakan untuk bumbungnya.

Si pemakai songkok haruslah menghormati songkok dari segi pemakaian, cara kita menjaga dan menyimpannya. Kedudukan songkok yang dipakai di atas kepala membawa makna yang tersirat.
Ia mendidik supaya kita bersikap merendahkan diri. Ini kerana walau setinggi mana pun darjat dan kedudukan kita, masih terdapat perkara lain yang lebih tinggi dan berkuasa daripada kita. Penggunaan songkok sering dikaitkan dengan tempat dan imej seperti masjid atau majlis-majlis rasmi. Sehubungan itu, jika ia dipakai pada majlis yang bukan tempatnya, maka masyarakat akan memandang sinis terhadap orang yang berbuat demikian.



Pengerusi Persatuan Dondang Sayang Negeri Melaka, Mohd Yasin Ahmad, melahirkan perasaan kecewa apabila orang Melayu sekarang dilihat tidak lagi mengenakan pakaian Melayu yang lengkap termasuk tidak bersongkok, memakai tanjak atau destar. “Senario pelik yang kita dapat lihat sekarang, orang Melayu memakai pakaian Melayu tidak kena pada tempat dan masa sehingga ada yang sanggup memakai baju Melayu, berseluar dan bersamping, tetapi tidak berasa aneh tanpa memakai songkok.

“Ada juga orang berambut panjang apabila memakai pakaian Melayu mengenakan songkok sedangkan sepatutnya mereka lebih manis jika memakai tanjak atau pengikat kepala,”

Penerima Anugerah Sasterawan Negeri Melaka 2009, Mokhtar Yasin, pula berkata pemakaian baju Melayu yang lengkap di kalangan lelaki dan wanita memperlihatkan kesempurnaan jati diri yang menunjukkan bangsa pemakai pakaian berkenaan.

“Apabila kita menyebut pakaian Melayu, soalnya sudah tentu mesti lengkap dengan songkok, baju, seluar dan kain samping bagi lelaki, manakala wanita pula perlu memakai baju kurung, kain dan tudung. Malangnya orang Melayu sudah melupakan semua ini dan hanya dipakai dalam majlis tertentu, tetapi itu pun ada yang tidak sempurna,” katanya.

Mokhtar berkata, kesedaran perlu diberi kepada generasi muda mengenai pemakaian busana Melayu yang lengkap melalui contoh yang diperlihatkan pemimpin dan isteri mereka, sekali gus dapat mengekalkan tradisi budaya Melayu di negara ini. 

sumber : http://www.bharian.com.my

Tiada ulasan: