14.8.10

Mencari Ghairah Makan di Bulan Puasa

Duduk petang-petang sementara melayan kerenah anak-anak, mesin waktu berputar kepada kenangan berpuasa bersama keluarga di Kemaman terutamanya kepada tiga hidangan tipikal untuk berbuka puasa orang Kemaman yang saya rindukan. 

Pertamanya nekbat. Kuih semacam bahulu yang dimasak bersama gula dan daun pandan. Rasanya amat manis sesuai sebagai pencuci mulut. Bukan semua orang boleh menikmatinya kerana baunya sedikit hanyir yang datang dari ramuannya iaitu telur. Sampai ke hari ini, setelah lebih 10 tahun menjadi orang Terengganu celup, isteri saya masih tidak dapat menghayati kesedapan nekbat.

Inilah rupanya nekbat yang teramat manis.




Yang kedua ialah bubur lambuk. Di tempat saya, bubur lambuknya lain sikit. Ada sayur-sayuran atau lebih tepat lagi pucuk-pucuk kayu. Cara memasaknya tidaklah sesukar mana cuma yang uniknya ada bermacam-macam pucuk kayu seperti pucuk paku ataupun pucuk midin, pucuk labu, pucuk ubi keledek, daun asing-asing, daun kemangi dan tidak dilupakan sedikit ubi keledek. Rasanya? Susah nak cerita.

Bubur Lambuk Terengganu yang berlain dari tempat lain

Ketiganya ialah laksa Terengganu. Kuahnya daripada santan segar dicampur sedikit ikan rebus dan lada hitam. Pelengkapnya ulam-ulaman seperti daun kemangi, kacang panjang, kubis dan timun. Perencahnya cukup mudah. Sedikit belacan hidup, cili boh dan garam. Cara makan mesti dengan tangan. Kalau tak, ghairahnya tak sampai...!

Laksa Terengganu dibuat daripada laksa gandum bukan laksa beras.
Itulah cerita tentang makanan Terengganu yang amat saya rindukan di bulan puasa. Yang satu lagi di bawah ni, taklah rindu sangat sebab saya sudah tidak boleh menghayati keenakannya disebabkan resdung. Kalau makan juga, jawabnya bergegar satu rumah dengan bersin. Apa dia.....tengoklah.



Budu - Makanan kebangsaan orang Pantai Timur


Apapun, catatan di atas sebagai penghilang kerinduan kepada masakan ibu tercinta. Ramadhan bukan pesta makan. Banyak lagi khasiat Ramadhan yang perlu kita cari.

2 ulasan:

armouris berkata...

info tentang puasa Ramadhan di SIHAT SELALU - Puasa Baik Untuk Kesihatan

Tanpa Nama berkata...

Jauh beza bubur lambuk hok teganu ngan hok kay ell....
Ramuan nok wak bubur lambuk teganu payoh nok buleh kat kl ni..ada ker dop pon dop tahu..
Bubur lambuk kl ni beza ngan bubur biasa...ada rase berempah sket...tu jer lah kan