23.8.10

Selamat Datang Saudara Kita



Perasaan bercampur baur bila mendapat tahu salah seorang pelajar saya telah memeluk Islam. Beliau yang berasal dari Malaysia Timur sebelum ini adalah seorang penganut agama Kristian. Dikhabarkan bahawa beliau telah lama mengkaji dan mendalami Islam sebelum mengambil keputusan untuk berhijrah. Sesungguhnya ini adalah rezeki Ramadhan yang telah menghadiahkan seorang saudara baru kepada kita. Hanya ucapan kesyukuran yang dapat difikirkan di samping agak terharu bila melihat beliau datang ke kelas dengan lengkap bertudung. Cik LL ada cerita tentang apa yang berlaku di dalam kelas Pengucapan Umum pada Sabtu lepas.

Saudara baru atau saudara kita? Apakah panggilan yang sesuai selain daripada mualaf untuk mereka? Di sini saya kongsikan penulisan berkaitan isu ini yang sayapetik dari laman http://erakita.wordpress.com.

"Tulisan penulis ini pernah disiarkan dalam blog http://pustakaalghazali.wordpress.com pada 7hb. Ogos 2009 berikutan respon penulis kepada sebuah artikel yang disiarkan dalam akhbar Berita Harian pada 5hb. Ogos 2009. Artikel itu bertajuk Saudara Kita-Istilah Lebih Sesuai. Atas keizinan pustakaalghazali, penulis berbesar hati untuk menyiarkan semula tulisan ini untuk tatapan anda semua di blog ini. Beberapa penambahan dibuat pada bahagian-bahagian berkaitan dalam tulisan ini agar ia lebih terkini.
Penggunaan istilah “Saudara Kita” sebagai rujukan kepada “Saudara baru” memang kena pada tempatnya. Istilah ini lebih bersifat universal, mempunyai nilai-nilai sejagat dan berunsur sikap menerima seadanya golongan ini ke dalam kelompok kita tanpa sebarang syarat atau prasangka. Sekali mereka melafazkan kalimah suci (Syahadatain), mereka adalah saudara kita, saudara seagama kita. Istilah “Saudara Kita” dapat menyingkirkan rasa skeptikal mereka terhadap status mereka sebagai orang baru dalam agama ini.
Panggilan “Saudara Kita” membuatkan mereka yakin bahawa mereka benar-benar diterima dan berada dalam kelompok umat Islam tanpa mengira samada mereka itu orang lama atau baru. Panggilan “Saudara Kita” juga dapat melenyapkan rasa rendah diri serta serba kekurangan di kalangan mereka yang baru memeluk Islam. Penulis difahamkan bahawa pendekatan institusi agama di Malaysia ketika ini ialah menekankan penggunaan istilah “Saudara Kita” berbanding “Saudara baru”."

Saya berpendapat bahawa peranan bimbingan terhadap saudara kita perlu diberi perhatian. Dengan bimbingan yang baik dan dapat dicontohi oleh saudara kita khususnya akan memberi satu impak positif bukan sahaja daripada segi akhlak, syariat malahan keutuhan pegangan aqidah dapat dikukuhkan dalam jiwa saudara baru.
 

Tiada ulasan: