24.10.10

Antara Seorang Jaga Tua dan Dr. Fadzillah Kamsah



Dalam kehidupan seharian, kita selalu melupakan orang-orang kecil yang pada pandangan mata kita bukanlah sesiapa pun. Mereka kadang-kadang dianggap sebagai orang tidak penting dan kadang-kadang kehadiran mereka hanya menganggu urusan seharian kita.

Orang kecil yang saya maksudkan ialah pengawal keselamatan atau lebih mesra dipanggil "pakcik jaga". Perbualan saya dengan seorang jaga di Perpustakaan Awam Negeri di Alor Setar pada Sabtu semalam banyak membuka mata dan hati saya tentang kehadiran pakcik jaga ini. Gajinya tidaklah seberapa. Namun begitu, pakcik jaga yang saya kenali ini bukanlah calng-calang manusia. Mungkin pendidikannya tidaklah setinggi orang lain, hanya setakat darjah 6 namun apabila dia menunjukkan gambar-gambar anaknya, saya seakan tidak percaya.  Dia tidak payah belajar tinggi, dia tidak memerlukan bimbingan pakar motivasi sehebat Dr. Fadzillah Kamsah untuk mendidik anak-anak. 3 daripada 6 anak-anaknya bergelar doktor. Salah seorang daripada mereka sedang berkhidmat di Ausralia. 3 orang lagi anak-anaknya berkhidmat dengan sektor kerajaan sebagai pegawai berpangkat tinggi.

Saya tanya dia, " Kenapa pakcik kerja sedangkan anak-anak pakcik mampu menanggung hidup pakcik suami isteri?"

Jawabnya, "Pakcik kerja sebab dah jadi tanggungjawab pakcik sebagai bapa dan suami".

Apabila mendengar jawapannya, saya hanya mampu tersenyum. Matanya bersinar-sinar.Kadang-kadang ilmu tidak kita perolehi di dalam bilik kuliah ataupun di dalam buku semata-mata. Manusia sekeliling turut menjadi guru yang berkesan buat kita belajar sesuatu. Salah seorang daripadanya adalah seorang jaga tua di dalam pondok pengawal yang panas.

Tiada ulasan: