22.10.10

Cerita Seorang Muzaffar

Entah mengapa kali ini tergerak hati saya untuk menulis tentang diri sendiri. Sebenarnya sebelum ini saya telah berjanji pada diri sendiri untuk tidak banyak menulis tentang diri sendiri dalam blog ini walaupun ada sekali dua saya terbabas juga menulis tentang diri sendiri.

Tiada apa yang menarik untuk dikongsikan. Cuma cerita biasa seorang manusia biasa yang bergelut dengan pelbagai rencam kehidupan. Tugasan di sekolah semakin banyak selepas tamat peperiksaan akhir tahun. Apabila kita sudah terbiasa kerja di bawah tekanan, segala masalah yang menghampiri bukanlah sesuatu yang perlu dicemaskan. Sekolah tempat saya bertugas semakin maju ke hadapan. Kami sedang menunggu keputusan samada kami berjaya dinobatkan sebagai Sekolah Berprestasi Tinggi.



Tugasan di Pusat KoKurikulum UUM semakin ke penghujungnya. Lain tempat lainlah cabarannya. Di sini saya berdepan dengan sekumpulan pelajar yang begitu aktif dan amat mencabar daya pemikiran saya. Namun di penghujungnya saya agak sedikit kecewa apabila ada segelintir di kalangan mereka tidak berjaya melangsaikan hutang tugasan kepada saya. Semoga semester depan nanti mereka akan dapat mengubah sikap dan pandangan terhadap tugasan yang diberi dan tidak hanya menyudahkannya secara ala kadar.

Program Bersama Anak Yatim di Perlis

Kerja-kerja kreatif tidak akan terhenti dengan kejayaan mementaskan teater di Taman Budaya Alor Setar baru-baru ini. Sekarang saya sedang merangka program baru bersama anak-anak teater saya di POLIMAS. Mereka perlu banyak didedahkan dengan pengalaman-pengalaman hidup agar berupaya untuk menghadam setiap gerak dan tingkah manusia di sekeliling. Bengkel-bengkel dan kelas-kelas teater akan berjalan seperti biasa. Saya akan berada di Kuala Nerang pada penghujung Oktober ini untuk bergelumang dengan anak-anak sekolah bagi memberi pemahaman tentang permainan teater yang sebenarnya.

Pratonton teater Kotaku Oh Kotaku bersama Angkatan Teater POLIMAS (atMAS)

Pengajian saya di USM semakin mencengkam jiwa. Tugasan demi tugasan. Kajian demi kajian. Semuanya berjalan agak perlahan. Memadailah untuk seorang yang agak kelam kabut bagi saya. Semuanya berjalan lancar walaupun kadang-kadang proses menyelidik agak tidak tersusun. Itulah nasib seorang mahasitua seprti saya.

Di rumah saya menanti kehadiran ahli keluarga baru. Ketiga-tiga anak saya tidak sabar untuk menerima seorang lagi teman sepermainan mereka. Berkembangnya ahli keluarga bermakna berkembanglah juga tanggungjawab. Anugerah datang dengan tanggungjawab. Janji manusia dengan Allah harus ditepati. Saya tidak pernah lupa dengan janji-janji saya untuk menjadi khalifah di muka bumi ini.

Dah habis? Panjang juga entri kali ini. Tentu bosan membacanya tapi ingat...bosan itu juga satu nikmat sebenarnya.

1 ulasan:

Loyar Lawa berkata...

waohhhhhhhhhhhhhhh~