10.11.10

Airmata Tertumpah Kerana Sekeping Gambar

Zaman persekolahan adalah satu zaman yang amat indah. Tiada yang dapat menggantikan kenangan-kenangan zaman persekolahan. Namun itu semua tidak mungkin akan berulang. Saat saya menulis catatan ini, ada suara halus dalam diri yang begitu menyentap perasaan. Air mata seakan-akan tidak dapat dibendung lagi. Semua ini berpunca dari sekeping gambar yang dipaparkan di akaun Facebook sahabat saya, Princess Aurora. Gambar yang menceritakan  kenangan zaman persekolahan. Gambar inilah yang mengembalikan saya ke terowong masa hampir 20 tahun yang lalu. Dua orang sahabat baik saya telah kembali menghadap penciptaNya.

Pertama ialah arwah Aisyah. Beliau meninggalkan kami sejuta kenangan yang masih basah di ingatan. Mana mungkin kami semua dapat melupakan keletahnya yang agak spontan. Beliau agak berbeza dari kami semua. Berbeza dari segi keberanian, beliau menyongsong arus ketika itu. Beliau mungkin out-spoken tetapi semuanya kerana keterbukaan fikiran yang kadang-kadang agak menjengkelkan sesetengah orang yang berperangai hipokrit. Saya senang memanggil beliau Kak Aisyah kerana beliau tua setahun daripada saya. Sifat beliau yang terlalu mengambil berat membuatkan ada yang tersalah tanggapan. Mungkin beliau agak ranggi namun keranggian itulah yang membuatkan kami semua amat menyayanginya. Ketika saya di Seremban, semasa arwah masih hidup, agak kerap kami keluar minum bersama. Beliau hampir setiap masa  ditemani suaminya, Aizam. Keterbukaan pasangan inilah yang mengikat kasih sayang persahabatan kami. Sewaktu menerima khabar duka pemergian beliau, saya seolah-olah kehilangan seorang ahli keluarga. Kenangan datang dan pergi. Airmata tumpah...

Sahabat kedua ialah arwah Muliadi. Tinggi orangnya. Berkulit hitam manis. Siapa yang mampu melupakan kemahiran beliau bermain gitar ? Kami bersama semenjak dari tingkatan 4 lagi. Kematiannya amat tragis. Beliau pergi dengan cara yang kami sendiri tidak sangkakan. Terlalu peribadi untuk saya kongsikan di sini. Cukuplah saya katakan bahawa, semua orang terkejut dengan pemergian beliau. Di hujung-hujung usianya, saya dikhabarkan, beliau sudah tidak mampu untuk mengecam sahabat-sahabat yang datang menziarahinya. Banyak cerita tentang beliau yang saya simpan sehingga ke hari ini tanpa siapa pun mengenali siapa arwah yang sebenarnya. Biarlah cerita-cerita tersebut pergi bersama-samanya. Kenangan datang dan pergi. Airmata tumpah lagi...

Bila terkenangkan mereka, terfikir bilakah saya akan turut menyertai mereka di sana?



Gambar inilah yang membuatkan air mata saya tumpah. Arwah Aisyah yang bertudung kuning sementara arwah Muliadi segak berbaju biru berkolar putih di belakang sekali. Gambar dirakamkan ketika kami berada di Kuala Terengganu sempena Festival Teater Terengganu. Kami mengambil bahagian sebagai peserta pertandingan dengan mereka berdua memainkan peranan penting dalam pementasan kami. Saya tiada di dalam gambar. Kurang pasti di mana saya berada ketika ini...

AL-FATIHAH BUAT ALLAHYARHAM MULIADI B. MAT SAAD DAN 
NORAISHAH BT. HAMZAH.

Tiada ulasan: