14.11.10

Naskhah Budi untuk Generasi Muda

Mari kita raikan naskhah budi ini. Ia tak lapuk dek hujan, tidak juga lekang dek panas:

Kajang Pak Malau kajang berlipat,
Kajang saya mengkuang layu;
Dagang Pak Malau dagang bertempat,
Dagang saya musafir lalu.

Kalau keladi sudah ditanam,
Jangan lagi meminta balas;
Kalau budi sudah ditanam,
Jangan lagi meminta balas.

Pucuk pauh delima batu,
Anak sembilang di tapak tangan;
Biar jauh dinegeri satu,
Hilang dimata dihati jangan.

Saya berharap sangat pengungkapan naskhah budi ini masih dapat diterima oleh generasi muda walaupun saya tahu sambutannya mungkin dingin. Saya telah lama menyedari bagaimana generasi muda ini sangat terdedah kepada naskah jiwa moden yang lebih memikat dan mempesona.

Mesej ‘jiwang dan cintan’ dalam naskhah baru ini telah lama membelai jiwa mereka. Tidak cukup setakat itu, naskah budi ini juga disaingi sengit oleh naskhah-naskhah popular lain seperti rock, hip hop, dan banyak lagi.

Mengapa ini boleh dan terus terjadi?

Alasannya tidak susah untuk ditelah. Antara alasan itu adalah berlakunya fenomena pensejagatan (globalisasi) dan kewujudan dunia tanpa sempadan (borderless world) yang mengasak keperibadian bangsa.   Hasilnya ialah apa yang sedang berlaku dalam masyarakat dunia sekarang. Bila kita jujur dan berani meninjau ke wilayah kita pula, pasti kita melihat simptom-simpton kemusnahan jati diri bangsa, agama dan negara sedang parah berlaku. Ia begitu meresap dan meluas kesannya.

Hari ini budaya liar, biadap dan miskin budi bukan lagi gejala orang kota. Orang desa pun tidak kurang hebatnya. Kita tidak boleh menafikannya dan berkata ‘alah itu kes terpencil’ lagi. Apakah kita sekadar memerhati proses keruntuhan nilai tradisi turun temurun berlaku di depan mata kita?

Saya bimbang penolakan naskhah budi Melayu ini sebagai petanda kian jauhnya generasi muda hari ini dari akar budayanya. Saya cuba bersikap optimis dengan memujuk hati saya bahawa masih ada dalam diri jiwa mereka yang berbaki jati diri Melayu. Saya mahu percaya bahawa Allah masih sayangkan umat Melayu-Islam di negara bertuah ini.

Dengan kepercayaan ini saya akan terus mempertaruhkan naskah budi warisan bangsa biar pun sedar ia disaingi hebat oleh naskhah popular masa kini.