27.1.11

Ada Apa Dengan Pangkat Datuk ?

Pengakuan seorang perajurit bersara yang mengetuai sebuah persatuan yang tidak berdaftar bahawa dia membayar RM250 ribu untuk mendapat anugerah gelaran ‘datuk’ dari sebuah negeri di utara Semenanjung, bukan sahaja mengaibkan tetapi memperlihatkan kegelojohan manusia untuk mendapat gelaran dan anugerah. Ia bukan perkara baru bahkan dikatakan berlaku sejak beberapa tahun lalu dan membabitkan beberapa buah negeri.
Nak tahu betapa susahnya untuk dianugerahkan pangkat Sir (setaraf Datuk) oleh Kesultanan British? Mari tengok beberapa anugerah yang diterima  oleh Yusuf Islam:
  • 2003 - World Social Award untuk kerja-kerja kemanusiaan bagi membantu kanak-kanak dan mangsa peperangan;
  • 2004 - Man for Peace Award kerana usaha berterusan menyampaikan mesej keamanan dan menentang keganasan;
  • 2005 - Honorary Doctorate oleh University Gloucestershire kerana servisnya dalam bidang pendidikan dan bantuan kemanusiaan;
  • 2007 - Mediterranean Prize for Peace kerana usaha beliau meningkatkan keamanan dunia;
  • 2007 - Honorary doctorate (LLD) oleh University of Exeter sebagai satu pengiktirafan dalam kerja-kerja kebajikannya dan meningkatkan kefahaman di antara dunia Islam dan Barat.
Betapa hebat anugerah yang diperolehi ini oleh Yusuf  Islam namun sehingga sekarang masih lagi tidak mendapat taraf Sir.


Bono, iaitu ketua kumpulan rock U2 dari Ireland, telah dianugerahkan knighthood oleh Kesultanan British kerana penglibatan aktifnya dalam membasmi kemiskinan dan AIDS di Afrika. Apa pun pokoknya di sini, knighthood itu diperolehi bukan kerana Bono U2 ini popular di seantero dunia, sebaliknya disebabkan beliau menggunakan muzik dan popularitinya untuk menjadikan bumi ini tempat yang lebih selesa dan aman untuk didiami.

Ada artis kita yang menerima pangkat keramat itu lebih kerana penglibatannya dalam industri hiburan itu sendiri. Ini seperti mana yang berlaku kepada Tan Sri P. Ramlee. Namun saya melihat, memberikan sebarang gelaran kenamaan kepada golongan artis perlu dilakukan dengan berhati-hati. Pemilihan wajib menimbangkan juga faktor sumbangan seseorang artis itu dalam arena selain hiburan; bukannya memilih kerana lebih disebabkan faktor popularitinya semata-mata.Popular ini juga sesuatu yang berubah-ubah. Hari ini mungkin popular, namun 10 tahun lagi belum tentu.

Persoalannya, berapa ramai para Datuk di Malaysia yang sekurang-kurangnya pernah terfikir menjadi aktivis untuk membina sebuah dunia yang lebih baik, aman dan selamat berbanding semalam? Semoga para Datuk di Malaysia tidak sekadar berfikir untuk merebut projek-projek kerajaan, sepertimana yang sering digosipkan dari warung kopi di tepi jalan, sehinggalah ke Starbucks Bukit Bintang.

Tiada ulasan: