17.4.11

Adi di Turki (1)

Sehari dua ini rasa gelisah tak menentu. Teringatkan anak sulung saya, Adi Aiman Afiq yang kini berada di Kocaeli, Turki. Dia bersama tiga orang guru serta 7 rakannya ke sana untuk mengikuti program pertukaran pelajar. Di samping itu, mereka turut terlibat dalam Turkey International Children Festival. Program pertukaran pelajar ini adalah sebahagian daripada program Sekolah Berprestasi Tinggi. Mereka di sana selama dua minggu. 

Dapat bercakap dengannya sebentar tadi melalui telefon membuatkan ibunya kembali tersenyum. Risau memanglah risau tapi biarlah dia belajar hidup tanpa ibu dan bapanya selama dua minggu. Di sana dia ditempatkan bersama keluarga angkatnya. Walaupun dapat berbual dengan bapa angkatnya tapi sepatah apa pun tak faham. Dia asyik bercakap dalam bahasa yang saya sendiri pun tak pernah dengar. Mungkin bahasa Turki dan saya membalasnya dalam Bahasa Inggeris slang Kedah campur Terengganu. 

28 April ini dia akan kembali ke Malaysia. Tak sabar nak dengar ceritanya. Mesti teruja habis maklumlah anak sulung saya ini seorang yang agak bersemangat bila bercerita. Apapun, doakanlah semoga keselamatan dan kesihatannya di sana baik-baik sahaja.

Gambar Adi yang diambil dengan kamera cap ayam di KLIA semasa menunggu penerbangan.

Tiada ulasan: