24.4.11

Jurujual Yang Menjengkelkan

Kadang-kadang dalam kehidupan seharian, kita akan berdepan dengan situasi atau individu yang menjengkelkan. Petang tadi, bersama dengan isteri saya berdepan dengan satu situasi yang begitu menjengkelkan. Kisahnya bermula dengan isteri saya yang begitu bermurah hati melapangkan masanya untuk mendengar kelentong jurujual barangan elektrik di sebuah pasaraya di pekan Jitra ini. Mahu tak mahu saya juga terpaksa memasang telinga mendengar cerita bohong oleh jurujual tersebut. 
 
Lokasi kejadian.
 
Dipendekkan cerita, sampai satu tahap, pembohongannya mula saya kesan apabila mereka berdua buat-buat terkejut apabila membuka kupon percuma yang ditawarkan. Skripnya mudah saya baca. Lakonannya agak kaku dan kadang-kadang agak meloyakan. Daripada harga lebih kurang RM 2 ribu, barangan yang ditawarkan iaitu "Smart Microwave", berjaya diurunkan harga dengan bayaran hanya RM 80.00 sebulan. Semudah itu plot cerita bertukar. Saya sengaja membiarkan mereka melalut mendedahkan kebodohan diri sendiri. Setelah 20 minit berlalu, saya matikan cerita. Saya keluarkan pelakon utamanya. Plotnya saya ubah. 
 
Dengan muka yang tidak bersalah, saya berlalu dari situ membiarkan mereka terpinga-pinga. Kata mereka, saya rugi besar kerana menolak tawaran yang diberikan oleh orang yang terpilih sahaja. Kata mereka lagi, tawaran itu hanya berkuatkuasa dalam masa 30 minit sahaja. Apa mereka fikir saya begitu kebulur dengan tawaran mereka. Dengan isyarat mata yang difahami oleh isteri saya, kami mula mengenakan mereka kembali. Kombinasi kami yang mantap membuatkan mereka termalu sendiri. Begitulah manusia. Sanggup menipu orang demi wang ringgit. Rezeki apa namanya yang diperolehi daripada hasil penipuan. Hanya Allah sahaja yang mampu menjawabnya. 
 
Saya redhakan penipuan mereka dengan tanggapan bahawa mereka begitu terdesak untuk mendapatkan wang lebih. Mungkin susu anak sudah kehabisan. Mungkin mereka memerlukan wang untuk membiayai belanja perubatan ahli keluarga mereka. Dan mungkin seribu kemungkinan yang mereka hadapi sehingga membuatkan mereka sanggup menipu orang. Sebagai peringatan, berhati-hatilah dengan manusia terdesak ini.Mereka pandai berlakon menyusun skrip yang bodoh sehingga mendedahkan ketololan mereka. Kasihan mereka.

2 ulasan:

NoorGie berkata...

hehehehhee..pernah mengalami situasi yang sama..teringan semasa kejadian ada sepasang suami isteri yang sudah agak veteran. yang sedihnya mereka terpedaya ngan penipuan itu...

Tanpa Nama berkata...

Kesian mereka kerana tidak dapat memperjuangkan penipuan mereka ...