2.5.11

Antara Nasi Lemak dan Obesiti

Baru-baru ini isu pemakanan nasi lemak telah menjadi bahan polemik apabila dikatakan menjadi punca utama kepada masalah obesiti di kalangan murid-murid sekolah. Maka, bersilat lidahlah si cerdik pandai membentang dan menepis segala bagai fakta dan pendapat. Cadangan mereka ialah nasi lemak dikeluarkan daripada menu kantin sekolah. Jika perlu, hanya dua hari dalam seminggu sahaja. Sebelum kita menyokong atau menentang cadangan tersebut, eloklah kalau kita memahami dulu apa itu obesiti.

Obesiti bererti pengumpulan lemak berlebihan yang menimbun di dalam badan seseorang. Kalori yang berlebihan yang membentuk lemak menyebabkan berlakunya kegemukan. Harus diingat bahawa nasi lemak bukanlah satu-satunya faktor yang menyebabkan berlakunya obesiti. Nasi lemak yang mengandungi sambal, ikan bilis, udang, kacang, timun dan telur sebenarnya memberikan zat makanan yang diperlukan badan seperti protein, karbohidrat, vitamin E dan zat besi. 

Saya berfikiran bahawa ada agenda lain sebenarnya yang cuba diketengahkan di dalam isu ini. Naluri saya mengatakan bahawa isu ini sebenarnya seolah-olah satu rancangan terancang untuk menghapuskan makanan tradisional masyarakat Melayu. Mengapa tidak burger ataupun makanan segera yang lain? Mengapa nasi lemak juga yang diganggu? Nasi lemak bukan setakat makanan untuk menghilangkan lapar semata-mata. Nasi lemak pada saya adalah satu manifestasi budaya Melayu yang penuh dengan kesopanan dan tatatertib dalam soal makan. Saya pernah menyentuh tentang nasi lemak dalam tulisan saya terdahulu ( klik sini). 



Apapun, pengumuman Menteri Pelajaran untuk mengkaji semula isu ini amatlah saya hargai. Semoga nasi lemak akan terus kekal sebagai sajian di sekolah. Sekurang-kurangnya anak-anak kita tidak terlalu memesrai burger, kentang goreng mahupun pizza yang bukanlah makanan warisan nenek moyang kita.

Tiada ulasan: