30.5.11

Kalah dan Menang

Setelah hampir berminggu-minggu ruangan ini dikosongkan, akhirnya hari ini saya bertemu juga ruang untuk mencatat sesuatu di sini. Kerja-kerja semakin menimbun sehingga membuatkan saya terpaksa berhenti seketika. 

Sebenarnya, saya baru selesai menyertai dua pertandingan. Pertama sebagai pembimbing dan kedua sebagai peserta. Adat pertandingan, ada yang kalah dan ada yang menang. Kekalahan saya dalam pertandingan Pidato Piala Diraja peringkat negeri Kedah membuatkan saya merenung sebentar. Rupa-rupanya, bakat sahaja tidak mencukupi andai kita tidak ada hubungan baik dengan juri. Saya sudah biasa menerima kekalahan namun kekalahan ini sukar saya terima kerana ia berlaku dalam suasana yang penuh kehinaan. Ada sedikit kontroversi di sebalik kekalahan kami. Walaupun ia berlaku dengan begitu mudah namun saya masih tidak dapat menerimanya. Kemenangan seolah-olah sudah diaturkan oleh pihak penganjur. Hanya kerana peserta itu pernah muncul di televisyen melalui rancangan "Adik-adikku", anak didik saya hanya mampu berputih mata walaupun beliau memberikan saingan yang hebat. 

Seterusnya, dua tiga hari lepas, saya dan anak didik saya dari Angkatan Teater POLIMAS telah memenangi pertandingan Pengkisahan Kenegaraan 1 Malaysia. Walaupun kami tidak cukup latihan dengan saya masih lagi gagal menghafal skrip sepenuhnya, kami masih mampu muncul sebagai juara dan seterusnya mewakili negeri Kedah ke peringkat kebangsaan pada penghujung Jun nanti. Masih banyak ruang yang perlu kami perbaiki. 

Begitulah hidup. Ada kala kita menang dan adakalanya kita kalah. Kemenangan itu bukan bermakna kita yang terbaik. Mungkin kita hadir di waktu dan tempat yang suai.








Tiada ulasan: