8.6.11

Cerita Pocong dari Kemaman

Kepulangan saya ke kampung halaman di Kemaman kali ini disambut dengan sebuah cerita mistik. Akibatnya isteri saya menjadi takut untuk ke dapur pada waktu lewat malam. Dikhabarkan sebulan dua yang lalu, penduduk kampung saya  riuh rendah bercerita tentang hantu pocong berkeliaran. Cerita ini bukanlah rekaan atau khayalan saya. Ini cerita yang saya dengar daripada mereka yang terlibat dalam cerita pocong ini sendiri. 

Kisahnya begini. Setelah seminggu peristiwa pembunuhan seorang warga tua yang pernah disiarkan di akhbar, penduduk kampung saya kecoh tentang kemunculan pocong. Mereka mendakwa melihat pocong muncul di khalayak ramai. Waktu itu baru pukul sepuluh malam. Walaupun cuba dihalau namun pocong tersebut tidak lari sehinggalah datang seorang tua yang agak pandai dalam hal-hal mistik, barulah pocong tersebut ghaib. Kemunculan pocong itu menarik perhatian berpuluh-puluh orang yang bernasib baik berpeluang menyaksikan pocong muncul. Walaupun diazankan, namun pocong tersebut tetap tidak berganjak sehinggalah orang tua itu menyepaknya, barulah ia hilang ghaib. 

Tambah menyeramkan lagi, pocong tersebut dikaitkan dengan kematian salah seorang jiran saya yang hanya selang dua pintu dari rumah keluarga saya di sini. Jiran sebelah pernah melihat pocong tersebut di halaman rumahnya. Sewaktu catatan ini ditulis, bulu roma saya berdiri. Bukan takut cuma kurang berani sebenarnya. Setelah disiram dengan air bacaan yassin di kuburnya, barulah pocong tersebut tidak lagi kelihatan. 

Saya yakin bahawa cerita ini ada kebenarannya kerana si jiran saya yang meninggal itu sebenarnya pengamal kepada ilmu mistik. Apapun, hanya Allah sahaja yang mengetahui kebenaran cerita ini. Hasil penyelidikan saya melalui temubual dengan beberapa orang di sini, saya percaya bahawa kemunculan makhluk syaitan ini bukanlah rekaan. 

Mungkin begini agaknya rupa pocong tersebut.

Walau bagaimanapun, saya tidak memaksa orang lain untuk mempercayai 100% cerita ini. Setiap orang mempunyai kepercayaan tersendiri terhadap dunia mistik. Saya sendiri sebenarnya tidaklah percaya 100% sehinggalah saya melihat dengan mata kepala saya sendiri. Sebagai bahan bacaan tambahan, anda boleh klik di sini untuk mengetahui pandangan Islam terhadap kewujudan hantu.

4 ulasan:

perondajaketbiru74 berkata...

hmmmm memang benar ade citer pocong ni bro...nak percaya atau tak terpulangler pada individu itu sendiri

NoorGie berkata...

eish..seram plak tgk gambar tuu...saya setuju dengan pendapat penulis...kadang kala mmg susah nak percaya hal2 mistik ni...tetapi yang pastinya syaitan mmg wujud dan berikrar akan menyesatkan manusia..wallahua'alam

Muzaffar berkata...

Dalam budaya Melayu, hantu sememangnya menjadi isu yang sering dibincangkan. Percaya atau tidak bergantung pada tuan tubuh. Mungkin bila kita dah melihat dengan mata kepala sendiri, barulah kita akan mempercayainya.

Tanpa Nama berkata...

tak perlu tunggu sampai betul-betul keluar depan mata baru boleh percaya..