24.7.11

Ada Apa Dengan Nasi Dagang ?

Makanan tradisional mendapat tempat tersendiri di kalangan pemuja makanan. Tidak dapat lari daripada beberapa rahsia tersendiri, makanan tradisional biasanya mempunyai beberapa ritual atau cara tersendiri untuk dihasilkan. Perbualan saya dengan seorang lelaki tua di Kuala Terengganu minggu lepas mendedahkan beberapa petua dalam penghasilan makanan tradisional masyarakat Terengganu iaitu nasi dagang. 

Mengikut putaran jam : acar timun, gulai ikan tongkol dan nasi dagang.
 
Seperti keropok lekor, nasi dagang selalu dianggap sebagai ikon kepada negeri Terengganu. Menurut lelaki itu, pada zaman dahulu yang saya anggarkan pada tahun-tahun 60-an, untuk membuat nasi dagang beberapa petua khusus harus dipatuhi. Antaranya ialah pemilihan buah kelapa untuk diambil santan sebagai pelengkap kepada keenakan nasi dagang. Menurutnya, kelapa dipilih mengikut jumlah hari bermula daripada hari pertama buah itu terbit dari tandannya. Bukan sebarang buah kelapa boleh diambil. Tidak dinyatakan berapa usia buah tersebut. Silap perkiraan boleh mengakibatkan nasi dagang yang dimasak tidak menjadi. 

Saya juga diberitahu bahawa, santan perlu diperah dengan menggunakan lekar iaitu sejenis alat pemerah santan yang diperbuat daripada anyaman rotan. Sukar untuk kita melihat alat pemerah santan yang dimaksudkan itu pada masa sekarang. Saya masih dapat membayangkan rupa alat tersebut. Bayangan seorang makcik tua duduk di atas pemerah santan itu masih segar di ingatan saya. Namun pada zaman sekarang, penggunaan mesin pemarut kelapa menghilangkan keaslian rasa santan. Ini disebabkan penggunaan mesin menyebabkan kelapa yang diparut bercampur dengan tempurung kelapa yang  diparut bersama. Akibatnya, rasa santan sudah tidak asli lagi. 

Akhirnya, petua yang mungkin boleh kita amalkan pada zaman sekarang ialah penggunaan daun pisang sebagai alas  beras yang dikukus. Baunya akan terbit memecahkan liur kita. 

Walaupun sukar untuk generasi sekarang mengekalkan pantang larang dalam pembuatan nasi dagang, namun sekurang-kurangnya makanan tradisonal ini masih lagi mendapat tempat di kalangan masyarakat.

Tiada ulasan: