23.8.11

12 Jam dalam Perjalanan Ke Kemaman bersama Ultraman


Jika diizinkanNya, hari Jumaat ini saya sekeluarga akan bertolak pulang ke Kemaman untuk menyambut Aidilfitri. Perjalanan selama kurang lebih 12 jam itu menuntut kesabaran yang bukan kepalang. Bayangkan situasi apabila 3 Ultraman bergabung tenaga untuk melawan raksaksa yang ganas di dalam ruang kereta anda. Begitulah situasi saya dengan 3 anak jantan yang tidak tahu bahawa bapanya sedang menanggung penderitaan mental tahap kronik akibat telatah dan kerenah mereka.







Salah seorang Ultraman sedang beraksi.



Dua Ultraman bersama raksaksa Gorgon

Awas raksaka...







Beberapa jalan sakaratulmaut termasuk di dalam laluan saya. Antaranya ialah Jalan Tanah Merah - Jeli. Laluan ini amat-amat membosankan. Had laju telah ditetapkan kepada 80 km/j sahaja. Nak memotong? Jangan harap kecuali anda memang nak cari nahas. 

Laluan seterusnya ialah KM 16-KM 60 Jalan Kuala Terengganu ke Kuantan dekat Marang. Laluan ini memang cantik. Jalannya lurus namun hati-hati. Kemungkinan untuk terbabas adalah tinggi. Perangai pemandu di pantai timur agak berlainan dengan pemandu di utara. Mereka seolah-olah dikejar sesuatu.

Seterusnya apabila sampai di Dungun, kami akan melalui laluan Bukit Bauk. Satu kawasan yang agak menggerunkan. Selalu berlaku kemalangan maut yang melibatkan jumlah kematian yang bukan sedikit. Tahap pengamatan saya terpaksa dinaikkan ke tahap maksimun kerana ada juga pemandu yang cuba untuk memotong walaupun laluan di sini bengkang-bengkok.

Daripada Dungun, kami akan melalui jalan pantai daripada Kemasik ke Kerteh seterusnya ke kampung saya di Bukit Kuang. Laluan ini walaupun tidaklah seteruk laluan-laluan lain namun kita tetap kena berhati-hati kerana pada waktu petang antara jam 4.00 hingga 6.00, laluan ini menjadi kelam-kabut dengan pekerja-pekerja industri di kawasan perindustrian sekitar situ. Semuanya bagai burung pulang ke sarang. Menyerbu tanpa sempat menoleh ke belakang. Jalan menjadi sesak dan tahap kesabaran semakin menipis. Mulut mula bersyair ayat-ayat puaka dan tangan mula menari-nari isyarat tak senonoh. 

Doakan kami semua selamat pergi dan selamat kembali. Insyaallah.

5 ulasan:

siti nur lala berkata...

semoga selamat sampai ke destinasi. :)

simanis berkata...

Haha...awalnya balik kampung bang? Hari hati di jalan raya...semoga selamat sampai ke kampung ya...

Muzaffar berkata...

lala : terima kasih atas doa...insyallah semuanya selamat.

Muzaffar berkata...

Si manis : bukan selalu balik kampung. 3 kali setahun jaa...semoga perjalanan kami dilindungiNya.

natrah ismail berkata...

cikgu kena tambah power raksaksa..hahaha!selamat memandu..pandu berhati-hati, ingatlah org tersayang..=) salam aidilfitri utk cikgu & keluarga..