15.8.11

Mari Bermain Mercun

Sudah masuk hari ke 15 kita berpuasa. Ruang udara di sekitar taman perumahan mahupun di kampung-kampung sekarang ini penuh dengan asap dan bauan mercun. Saya sebenarnya hairan dan tertanya-tanya apa kaitan mercun dengan sambutan Aidilfitri. Sekadar memeriahkan suasana dengan bunyi letupan yang kuat atau pun asap berkepul-kepul? Saya rasa Aidilfitri sudah cukup meriah tanpa kehadiran mercun. Bahana bermain mercun ini bukan kepalang. Sudah banyak yang putus jari tangan namun tarikan untuk bermain mercun masih kuat terutamanya di kalangan anak-anak.

Hasil pencarian saya, didapati bahawa mercun juga digunakan oleh masyarakat Vietnam semasa pesta  malam Giao Thu+`a (Malam Tahun Baru). Mercun dipercayai kononnya boleh menghalau semangat jahat serta menarik dewa kekayaan ke pintu rumah. 

Di negara kita, pembakaran mercun kini diharamkan seperti yang termaktub di dalam Akta Bahan Letupan pindaan tahun 1991 akibat peningkatan kadar kecederaan di kalangan kanak-kanak  semasa musim perayaan Hari Raya. Ironinya, kes kecederaan akibat bermain mercun terus meningkat saban tahun kerana kanak-kanak  beralih kepada mercun buatan sendiri seperti meriam buluh sebagai alternatif kepada mercun komersial.

Selain daripada risiko kehilangan jari, mercun juga dikesan mengandungi beberapa unsur kimia yang berbahaya kepada tubuh badan. Sila lihat di bawah untuk mengetahui bahaya-bahaya tersebut.  

"Kalium nitrat, strontium nitrat, kuprum oksida, karbon perklorat, barium klorat, potasium perklorat, sulfur, serbuk aluminium dan arsenik adalah antara bahan kimia dalam mercun yang boleh menjejaskan kesihatan.

Tujuan penggunaan pelbagai bahan ini adalah untuk memberi fungsi yang berlainan seperti membekalkan oksigen dan karbon, kesan bunyi dan warna. Tindakan kimia dalam mercun akan menghasilkan banyak asap hasil daripada bahan kimia beracun dan boleh membahayakan kesihatan.

Bahan campuran klorat dan perklorat berbahaya kerana mudah terbakar. Klorat adalah ejen pengoksidan yang kuat dan boleh menjadi toksik jika terhidu atau termakan. Pendedahan kepadanya boleh menyebabkan hemolisis iaitu pemusnahan sel darah merah dengan pembentukan metemoglobin. Ia juga membahayakan buah pinggang. Terdedah kepadanya boleh menyebabkan muntah dan kesakitan pada perut.

Sebatian barium menyebabkan keracunan dengan menunjukkan tanda-tanda seperti muntah, sakit pada bahagian perut, cirit-birit berdarah, kesesakan nafas, sawan, koma atau mati akibat kegagalan jantung atau pernafasan.

Jika tersedut, ia boleh menyebabkan penyakit paru-paru, lumpuh otot-otot, darah tinggi dan kekurangan zat kalium dalam tubuh.

Sebatian nitrat pula menyebabkan hakisan pada tisu-tisu kulit serta pelbagai penyakit-paru-paru. Bahan nitrat mudah memasuki tubuh melalui kulit terutamanya jika kulit mengalami kecederaan akibat terbakar.

Pendedahan kronik (lama) melebihi 5mg/kg/hari perlu dielakkan. Kajian menunjukkan mereka yang mengalami luka akibat kebakaran boleh menghadapi masalah gangguan darah yang teruk selepas terdedah kepada semburan kimia yang mengandungi nitrat.

Keracunan nitrat berkaitan dengan pengsan, pening, keletihan, sesak nafas, mual, muntah, tekanan darah rendah dan sakit kepala.

Sulfur boleh memasuki tubuh melalui pernafasan. Keracunan sulfur boleh menyebabkan rengsa kulit, mata, paru-paru dan saluran perut. Kesan-kesan lain ialah sesak nafas, batuk, rasa terbakar dan sakit dada. "

sumber : http://www.prn.usm.my/bulletin_articles_racun.php?Id=35.



 Mohd. Nazirul Hasif terkena mercun buatan sendiri di Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu

Tangan hancur.

Syakir Saifullah Jefri, hampir hancur jari hantu akibat bermain mercun di Rantau Panjang.

1 ulasan:

simanis berkata...

ngeri tgk cari nampak tulang tu weh! seriau semacam jer rasa...