18.9.11

Ada Apa Dengan Jitra ? (1)

Sebelum ini saya pernah tinggal di bandar besar seperti Kuala Lumpur. Tahun 2001 saya meninggalkan Kuala Lumpur untuk berhijrah ke negeri Kedah. Jauh dari negeri ibu kandung saya, Terengganu. Saya ditempatkan di Jitra, sebuah bandar paling utara di Semenanjung Malaysia. Banyak perbezaan antara hidup di Kuala Lumpur dengan Jitra. Terlalu banyak untuk diceritakan. Sebenarnya ada apa di Jitra? Saya dengan berbesar hati ingin mencadangkan Jitra sebagai sebuah petempatan yang aman dan selamat serta jauh daripada kesibukan kota.


Sebelum ini mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohammad pernah menjadi ahli Parlimen Kubang Pasu. Semasa era beliau, Kubang Pasu telah mendapat banyak limpahan nikmat pembangunan. Beliau  membawa masuk banyak institusi pengajian ke daerah ini. Namakan apa saja institusi pengajian, semuanya ada di daerah Kubang Pasu. Antaranya ialah Universiti Utara Malaysia, Institut Perguruan Kampus Darul Aman, Giatmara Prima, Politeknik Sultan Abdul Halim Muadzam Shah (POLIMAS), Institut Latihan Perindustrian (ILP), Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Kolej Matrikulasi Kedah, Maktab Rendah Sains Mara, Sekolah Menengah Sultan Abdul Halim dan dua buah sekolah berasrama penuh.

Universiti dalam hutan!

Jitra juga mempunyai tarikannya tersendiri. Salah satu tempat tumpuan yang saya syorkan ialah Taman Tasik Darulaman. Taman ini menjadi tempat beriadah bagi masyarakat setempat. Setiap hujung minggu akan dipenuhi dengan pengunjung yang menjalankan aktiviti tersendiri seperti berjoging ataupun sekadar bersiar-siar. Saya turut tidak melepaskan peluang membawa ahli keluarga ke sini. Sebagai rekod, air pancut di taman tasik ini telah diiktiraf sebagai air pancut tertinggi di Malaysia. Pengunjung boleh melakukan aktiviti air seperti berkayak ataupun mendayung sampan. Bagi kaki joran, di sinilah syurga bagi mereka.

Salah satu sudut pandangan di Taman Tasik Darul Aman

Tempat lain yang boleh dikunjungi sekiranya berpeluang menjejakkan kaki di Jitra ialah Taman Lye Huat. Taman ini merupakan milik persendirian namun dibuka kepada orang awam dengan sedikit bayaran. Apa yang menarik di taman ini ialah taman haiwan yang menempatkan koleksi haiwan eksotik seperti burung cenderawasih, harimau dan buaya. Juga terdapat akuarium yang menempatkan seekor ikan arapaima gigas, seekor spesies ikan besar dari Sungai Amazon. Kita juga boleh melihat koleksi basikal antik serta seni batu dan bonsai yang sukar untuk dilihat di tempat lain. Saya kurang pasti berapa bayaran masuk ke sini kerana harganya selalu naik maklumlah taman persendirian. 

Selain tarikan ke dua tempat tersebut, saya suka mencadangkan pengunjung untuk menikmati makanan selera utara yang begitu asli dan memenuhi asakan gastronomi kita. Bihun sup utara salah satu hidangan yang tidak patut anda lepaskan. Begitu juga dengan laksa Kedah. Salah satu tempat yang menawarkan makanan tengahri yang mengancam dengan harga yang saya kira tidak munasabah menurut pendapat orang KL ialah gerai-gerai di hadapan Taman Siswa di Tanah Merah, Jitra. Bayangkan,seketul kari kepala ikan nyot-nyot penuh semangkuk, 2 ekor ikan keli bakar, air asam, kerabu perut, ikan pekasam, jeruk maman dan tauhu sumbat tidak sampai RM 20.00!

Bihun sup utara - daging lembu tempatan segar dari ladang!

Andai ingin menikmati tomyam asli, sediakan diri anda dengan pasport. Saya akan membawa anda ke Danok, daerah Siam bersempadan dengan Bukit Kayu Hitam. Selain tomyam udang galah asli, saya juga ingin membawa lidah anda meneroka rasa asam pedas Siam atau 'kiengsom'. Rasanya seperti asam pedas tapi yang istimewanya ia dimasukkan umbut kelapa bersama ikan puyu sebesar tapak tangan.

Rasanya cukup di sini cerita saya kali ini. Bunyinya agak gah dan penuh dengan unsur-unsur propaganda namun saya yakin pengunjung ke Jitra tidak akan menyalahkan saya dengan cerita di atas. Ada banyak lagi keistimewaan Jitra. Mungkin ada siri kedua edisi 'Ada Apa dengan Jitra'.

2 ulasan:

simanis berkata...

kiengsom ialah asam kuning siam...lada hijau segenggam dikisar dengan selabu bawang putih dan direbus...masukkan isi ikan merah tulang keras...diakhir nya di masukkan daun kesum...

datuk saya dari narathiwat...

Muzaffar berkata...

Baunya yang saya tk tahan....lagi pedas lagi terangkat. Kami beli tempah yang siap diadun. Balik masuk dalam periuk saja....