12.9.11

Cerita Tentang Peperiksaan

Bermula esok sehingga Khamis ini, murid-murid tahun enam akan mula menduduki peperiksaan UPSR. Untuk tahun ini, kali keduanya saya terlibat secara langsung sebagai pengawas peperiksaan UPSR. Tahun sebelumnya sebagai Penolong Ketua Pengawas dan tahun ini dinaikkan pangkat sebagai Ketua Pengawas. Saya akan bertugas di sebuah sekolah kecil di Tunjang iaitu SK Hakim Teh. Tugasan sebagai Ketua Pengawas UPSR sebenarnya menuntut ketelitian yang tinggi. Berbagai-bagai jenis borang perlu diisi. Boleh pening dibuatnya saya.

Sebenarnya, bertugas sebagai pengawas peperiksaan adalah salah satu perkara yang termasuk dalam senarai perkara yang tidak disukai oleh guru-guru. Paling menyeksakan apabila ditugaskan sebagai pengawas SPM. Masa hampir sebulan terpaksa ditumpukan untuk tugasan ini. Cukup menyusahkan. Saya pernah menjaga peperiksaan SPM. Itulah antara pengalaman yang paling tidak menyeronokkan. Tidak boleh berbuat apa-apa. Hanya duduk menunggu masa tamat. Berjalan sekitar dewan pun harus ada tatacaranya. Tidak boleh membaca jawapan pelajar. Tidak boleh membaca sebarang bahan bacaan. Tidak boleh itu dan tidak boleh ini. Hanya terkebil-kebil menunggu masa tamat. Satu penantian yang cukup mengharukan jiwa raga.

Walaupun diberi elaun, namun seboleh-bolehnya guru-guru akan cuba mengelak daripada "terhukum" sebagai pengawas peperiksaan. Amat jarang ada guru yang menawarkan diri sebagai pengawas peperiksaan. Hanya guru yang istimewa sahaja yang menawarkan dirinya untuk menjadi penunggu dewan peperiksaan.

Apapun, itu semua adalah sebahagian daripada tugas seorang guru. Mahu atau tidak, kena terima sahaja atas perjanjian "saya yang menurut perintah". Saya akur dengan tugasan ini. Ada sesuatu yang mungkin saya boleh belajar daripadanya. Terima secara positif dan hasilnya sudah pasti positif.

1 ulasan:

simanis berkata...

Saya tak suka menunggu atau jadi penunggu...Sangat menyiksa jiwa raga...

Dan selam ini, saya tak pernah jadi pengawas peperiksaan...sebab I HATE WAITING! haha...