15.10.11

Ada Apa Dengan Pantun ?

Pantun sering dikarang dengan rangkap yang indah dan kebiasaannya dikaitkan dengan unsur alam. Di sebalik keindahan perkataan yang digunakan, selalu berlaku salah faham. Di sini saya kongsikan serangkap pantun yang mungkin selalu disalah tafsirkan maksud sebenarnya.

Pucuk pauh delima batu,
                            anak semilang di tapak tangan ;
    sungguh jauh di negeri satu,
                       hilang di mata di hati jangan.

Dari pembayang maksudnya, mungkin ramai yang meneka bahawa pucuk pauh yang dimaksudkan itu adalah pucuk dari pokok pauh. Sebenarnya, pucuk pauh dan delima itu adalah nama batu permata. Begitu juga anak semilang. Susunan batu-batu permata ini amat menarik sekali. Sangat berpadanan.

Sementara dalam bahagian maksudnya pula pantun ini selalu dianggap sebagai pantun kasih sayang. Sebenarnya pantun ini adalah pantun keagamaan. Negeri satu itu pada saya adalah kematian. Walaupun bercerai tubuh, namun ingatan tetap kukuh di hati.

Begitulah betapa cerdiknya orang terdahulu. Mereka menyampaikan mesej halus dalam pantun dengan tanpa disedari. R.O Windstet, seorang orientalis Barat pernah berkata bahawa untuk mengenali hati budi orang Melayu, kenalilah pantun dahulu. Begitu tinggi kedudukan pantun dalam budaya Melayu. Carilah di mana-mana pelusuk dunia ini, hanya orang Melayu sahaja yang berpantun. Ketinggian pemikiran dalam pantun sudah diakui melebihi pemikiran di dalam haiku, kepunyaan bangsa Jepun.




2 ulasan:

simanis berkata...

saya tak pandai berpantun...minta cikgu ajarkan...

ujie berkata...

baru tau pucuk pauh tu batu permata ya..
tapi yang "sungguh jauh di negeri satu" tu tak pernah dengar.
yang biasa dengar "walau jauh beribu batu". sbb tu dikaitkan dgn kasih syg.