25.10.11

Brake Not Eat, Tyre No Flower

Berucap di khalayak ramai bukanlah masalah besar bagi saya. Bukan mahu bercakap besar tetapi syukur kepada Allah kerana saya diberi keyakinan dan keberanian untuk berdepan dengan khalayak. Berilah tajuk apapun, insyaallah dengan keizinanNya, saya mampu bercakap dan berhujah tiga hari tiga malam. Begitu sombong bunyinya ya...! Maafkan saya.

Namun, pengalaman berucap di dalam Bahasa Inggeris benar-benar membuatkan saya berasa begitu kecil. Sebenarnya penguasaan Bahasa Inggeris saya tidaklah teruk sangat. Jika diketepikan aspek tatabahasanya, saya percaya Encik John Humperdik dari Texas boleh memahami percakapan saya! 

Brake not eat, tyre no flower. Takkan itu pun anda tak faham. Bukan begitu  cikgu Syima / Si Manis?

Petang Ahad yang lalu, buat pertama kalinya saya menyertai kelas Toastmasters yang diadakan di sekolah saya. Minat pada pengucapan awam membuatkan saya antara orang terawal yang mendaftarkan diri untuk menyertainya. Tepat jam 2.30 petang, kelas bermula dengan sesi "icebreaking". Percayalah, jika sesi ini diadakan di dalam Bahasa Melayu, sayalah pemenangnya tetapi petang itu saya menjadi manusia yang paling sopan dan pendiam ( sesuatu yang bertentangan 100% dengan sikap saya dalam kelas pengucapan awam). 

Seterusnya nama saya dipanggil untuk menyampaikan tugasan yang diberi. Tanpa merujuk modul yang diberi, saya ke depan dan terus bercerita. Tajuknya "The Power of Make-Up". Kad kiu ucapan saya kemas di tangan. Saya menggeletar, sesuatu yang sebelum ini tidak pernah saya alami. 

"Wah, ini bukan main-main" detik hati saya.

Saya rasa tercabar. Sebelum ini bukan main lagi saya berceramah sana-sini. Beri petua pengucapan awam sana sini. Apabila terkena batang hidung sendiri, baru tahu tinggi rendah langit. Saya kumpulkan kembali kekuatan. Saya menarik nafas baru. Saya mengawal pernafasan semula. Akhirnya saya kembali kepada diri saya. 

Selang dua minit...

"Stop!" kata mentor kami.

"Why?" saya bertanya.

Rupa-rupanya saya sudah melangkaui modul. Sebenarnya saya harus bermula dengan Unit 1. Aduh malu bukan sedikit.
Saya diberi lima minit lagi untuk membuat persediaan bagi tajuk yang betul iaitu "Myself".

Kalau dah nama cikgu Muzaffar, beri apa pun, belasah saja. Gomo gi kata orang pantai timur.

4 minit 25 saat, 3 kesalahan tatabahasa. 2 kali "uuuu", "aaa"...Itulah yang mereka catat berdasarkan ucapan sulung saya itu. Boleh tahan buat orang baru belajar seperti saya.

"I was given a congratulatory message. The result? I was nominated to the next level. The name and my details taken. They are satisfied with my performance. Wait for my next class."


Untuk maklumat lanjut berkaitan Toastmasters sila klik di sini.

4 ulasan:

Blues Riders berkata...

BR pun tak pandai berbahasa inggeris. kalau setakat nak minta kopi secawan kat kedai mamak tu boleh la.. huhu..

simanis berkata...

Haha...BR merendah diri dia yang tak berapa nak rendah kehkehkeh...
A good start for you Abang!

Ujie berkata...

kalau nak menulis tu..ok lg.
tp kalau nak bercakap..payah sbb takde praktis kan.

NoorGie berkata...

cikgu...tahniah atas usaha cikgu..sesungguhnya bukan senang untuk berkomunikasi dalam bahasa yang bukan bahasa ibunda kita...pengalaman saya sebagai pemeriksa muet speaking [tidak lama dulu] sangat2 menghiburkan hati dan mengajar saya, bahawa SPEAKING IS NoT AS EASY AS IT SEEMS...ramai calon MUET sanngat takut melalui ujian speaking, malahan ada yang terketar2 dikala ujian berlangsung...kebolehan dan keupayaan untuk berucap dalam bahasa inggeris dikhalayak ramai [walaupun ada kesilapan] adalah cukup mengkagumkan...sedangkan guru bahasa inggeris seperti saya pun belum tentu dapat lakukan dengan baik :)