7.10.11

Sakitnya Perut

Malam tadi saya berada di Bahagian Kecemasan Hospital Jitra. Saya dibawa oleh kawan ke sana kerana saya sakit perut yang teramat sangat. Sakit yang tak boleh digambarkan dengan kata-kata. Berguling-guling sampai satu ketika saya menjadi pitam. Melihatkan keadaan bertambah teruk, isteri saya menelefon kawan untuk menolong membawa saya ke sana. 

Sementara menunggu dipanggil masuk ke bilik rawatan, hanya Allah yang tahu kesakitan saya.Petugas di situ yang saya rasa bukannya doktor hanya menanyakan dua tiga soalan sahaj tanpa memandang muka saya. Saya terkejut apabila dia beritahu bahawa bekalan ubat sudah kehabisan. Jawabnya saya disuntik. Terfikir juga, bagaimana bekalan ubat sakit perut boleh habis. Mungkin semalam ramai yang sakit perut agaknya.
 


Awal pagi tadi anak sulung saya pula muntah-muntah. Mungkin keracunan makanan agaknya. Isteri saya menyediakan kari ayam sebagai hidangan makan malam. Mungkin tak serasi dengan perut kami. Sekali lagi kami bergegas ke klinik pula. Kali ini doktor memberikan rawatan dengan lengkap. Siap tekan-tekan perut kami berdua. Hasilnya kami pulang dengan seuncang penuh ubat-ubatan.

Petang ini dengan saki-baki perut yang masih memulas-mulas saya terpaksa ke Kuala Nerang untuk menghadiri kursus Program Penghayatan Sastera dan Budaya anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka. Mengenangkan peluang yang datang ini tidak harus dilepaskan dengan mudah, makanya saya gagahkan juga untuk ke sana. Peluang berdiskusi dengan penggiat-penggiat sastera tanah air seperti Dr. Lim Swee Tin, Roslan Madun dan Awang Abdullah bukan datang selalu. Saya berdoa supaya keadaan saya baik sahaja semasa berada di sana nanti.

2 ulasan:

simanis berkata...

Kena periksa betul betul...kadang kala sakit perut sebelah kanan, bawah sedikit mungkin ia nya appendiks. Saya pernah terlantar di Hospital Seremban kerana dia...hehehe

Semoga abang dan anak cepat sembuh!

Muzaffar berkata...

rasanya bukan appendiks kot....mintak jauhlah...