3.10.11

Tahniah Encik Hantu!

Bermula dengan filem "Jangan Pandang Belakang", hantu-hantu di Malaysia semakin tidak memandang ke belakang lagi. Mereka semakin mara ke depan dalam misi menyemarakkan kecintaan manusia terhadap mereka. Namakan apa saja hantunya, mereka semakin diminati sehinggakan anak sekecil 3 tahun pun sudah mengenali nama-nama hantu.

Anak saya sedang mencari hantu agaknya...!

Hantu kopek, hantu pocong, penanggal, hantu kangkang dan bermacam jenis hantu lagi sekarang ini sudah menjadi ahli keluarga setiap ahli masyarakat khususnya masyarakat Melayu. Terbaru, hantu bonceng pula menjadi ahli keluarga terbaru mereka. Nampaknya hantu sudah beralih peranan dalam sistem kepercayaan masyarakat Melayu. Dahulunya dalam zaman air di perigi, manusia Melayu takutkan hantu. Takut yang bukan sedikit. Namun sekarang di era muka buku, manusia Melayu tadi menjadikan hantu sebagai idola kesayangan di ruang tamu.

Tentu berderet hantu-hantu di luar sana menunggu giliran untuk dimasyhurkan sebagai hantu terbaik tahun ini. Tidak payah lagi mereka bersusah payah menakutkan anak-anak kecil di bawah katil atau di sebalik langsir. Cukup hanya dengan penampilan di dalam filem mahupun drama di kaca televisyen di ruang tamu. 

Kepada hantu (sekiranya membaca tampalan ini), tahniah saya ucapkan. Kalian semuanya sememangnya amat bagus dalam karier sehinggakan Tun Dr. Mahathir sendiri bercakap tentang diri anda. Bukan mudah untuk menarik perhatian negarawan ulung kita itu. Kepada Pak Menteri yang menjaga hal ehwal hantu, saya cadangkan anda dinaikkan darjat dengan anugerah yang lebih muluk lagi. Datuk Seri mungkin tidak mencukupi. Naikkan lagi darjat mereka kerana mereka berjaya dalam tugas "menghantukan" masyarakat Melayu.

Begitu besar sumbangan hantu kepada industri filem Melayu. Namun, rasanya hantu perlu berehat sekejap. Serahkan tugas melalaikan manusia Melayu ini kepada gangster pulak ya. KL Gangster, Kongsi dan yang terbaru Bini-biniku Gangster. Ayuh, gangster teruskan usahamu itu.

1 ulasan:

simanis berkata...

Bini biniku gangster tu tajuk yang sangat hampas kelapa! hehehe...Saya x minat cerita melayu...kedengaran seperti berlagak bukan? Hakikatnya memang cerita melayu banyak merapu...hahaha...

nnt ade yg sentap ni...