11.11.11

Menggelupur di Kuala Lumpur


Sesungguhnya lagu dari kumpulan Alleycats ini menggamit nostalgia. Saya masih ingat pertama kali saya ke Kuala Lumpur. Tahun 1997 merupakan tahun permulaan saya menjadi warga kota. Saya bersama 12 orang teman-teman semaktab ditugaskan di Kuala Lumpur. Kami melilau mencari rumah sewa. Pengalaman ini sangat mahal kerana kisah kami pernah terpampang di dada akhbar Harian Metro dengan tajuk "12 guru ditipu".

Ceritanya begini...

Kami mendapat sebuah rumah sewa di Pandan Indah untuk didiami. Seronok sungguh kami waktu itu. Namun, keseronokan itu hanya mampu bertahan tidak sampai 24 jam apabila masalah mula melanda. Setiap 2 jam sekali kami didatangi oleh individu yang mendakwa mereka juga penyewa kediaman tersebut. Wah, ini bukan main-main.

Dalam masa 3 hari, kami didatangi oleh 12 orang termasuk satu pasangan suami isteri dari Sabah yang ketika itu isterinya sedang sarat mengandung. Atas dasar kemanusiaan, kami memberi sebuah bilik kepada pasangan ini sementara mereka melapor diri di tempat bertugas mereka. Bayangkan 14 orang di dalam sebuah unit flat PKNS 3 bilik berasak-asak.

Ada satu keluarga dari Melaka datang pada waktu maghrib. Mereka sudah siap membawa satu lori barang untuk dibawa masuk. Mereka berkeras. Kami juga berkeras. Akhirnya mereka mengalah dan terus balik ke Melaka.

Laporan polis dibuat. Kami buntu memikirkan masalah ini. Ada kawan saya yang menangis. Mahu tak menangisnya, semua duit sudah dihabiskan untuk membayar deposit rumah. Saya sendiri pada waktu itu hanya mempunyai RM 25.00 sahaja sebagai belanja makan.

Penyelesaiannya, kami berpindah ke Keramat. Itupun atas dasar belas kasihan tuan rumahnya, arwah Haji Sulaiman, bekas imam Masjid Akram, Keramat. Di rumah itulah kami meneruskan hidup di celah-celah hutan batu Kuala Lumpur. Sehingga ke hari ini, saya masih menyumpah penipu tersebut. Zaidi namanya, orang Kelantan.

Hari ke hari, kehidupan di Kuala Lumpur semakin dinikmati. Berasak-asak di dalam bas mini merah jambu bukanlah nikmat mana pun. Jam 6.00 pagi sudah terpacak di depan hentian bas sebelum menunggu bas kedua di hadapan Bangkok Bank. Bau minyak wangi minah Indon kadang-kadang membuatkan saya termuntah. Gesel-geselan, senggol-senggolan membuatkan saya kadang-kadang hampir pitam.

Begitulah seterusnya sehingga saya berjaya memiliki motorsikal pertama saya. Lega kerana tidak perlu berasak-asak lagi. Dalam kesabaran yang menipis dan kepeningan di Kuala Lumpur, saya bertemu jodoh. Ini mungkin saya ceritakan di lain edisi. 

Penghujung tahun 2000 saya berpindah ke Jitra. Semuanya kerana tekanan sudah tidak dapat saya tanggung lagi. Rupa-rupanya Kuala Lumpur bukanlah tempat saya. Saya senang sekali di sini. Berada di celah-celah pekan kecil Jitra membuatkan saya lebih tenang berbanding sebelumnya di Kuala Lumpur.

Kadang-kadang bila melihat anak-anak buah saya termasuklah adik saya sendiri berhijrah ke Kuala Lumpur, hati saya berkata, 

"Pergilah ke hutan batu.
Carilah permata. 
berkubanglah di dalam lumpur. 
Semoga kalian tidak menggelupur."

1 ulasan:

pencinta ilmu berkata...

Pengalaman yg sgt menarik....Saya turut byk myimpan kisah pengalaman tersendiri di KL.Almaklumlah pertama kali bhijrah ke tempat org utk mnimba ilmu.