14.11.11

Si Manis dan Kisah Menyayat Hati

Blog si Manis adalah salah satu blog yang sering saya ikut. Si Manis banyak duit. Si Manis suka bersedekah sebab itu si Manis buat segmen berhadiah. Katanya begini...



Macamana nak join segmen saya? Gini…senang je…

1-  Letak header saya yang manis tu haha…
2-  Nak follow saya atau tidak, saya tak kisah.
3-  Letak tajuk :
PERISTIWA PALING MENYAYAT HATIKU | SEGMEN BERSAMA SiManis

Saya cuba untuk menulis. Saya berkisah begini...

Kisah ini berlaku lebih kurang 3 tahun yang lalu. Berlaku ke atas diri saya sendiri. Saya tidak pernah berjumpa dengan datuk atau nenek saya. Kematian mereka berdua sama dengan lahirnya saya ke dunia. Isteri saya bertuah kerana dia ada datuk dan nenek. Saya menumpang kasih datuk dan neneknya. Tokwan dan tok, itu panggilan saya kepada mereka berdua. 

Sayangnya saya hanya sempat bersama mereka selama 9 tahun sahaja. Kepergian mereka berdua sangat memberi kesan kepada saya. 
Saya masih teringatkan tokwan. Dia sudah berusia hampir 90 tahun. Matanya terang lagi. Selalu sangat dia memesan suratkhabar apabila dia tahu saya akan pulang ke kampung isteri saya di Jejawi, Perlis. Saya selalu makan hati kerana dia akan membaca suratkhabar tersebut sehingga saya sendiri tidak sempat membacanya. Semua hal ehwal dunia di hujung lidahnya. Tanyakan apa saja dari hal Palestin sehingga pemanasan global, semuanya dihafal tanpa ada tertinggal waima sedikit pun. Itu kelebihan tokwan. Tubuhnya melidi namun tong penyembur racun sarat muatan bukan masalah baginya. Saya hampir tumbang namun dia selamba menanggung tong penyembur racun seberat 30 kg di belakang tuanya.

Hari itu tok sakit. Tokwan seakan-akan menjauh diri dari tok. Mereka bertengkar namun kali ini sangat luar biasa. Saya memeluk tokwan dan mengajak dia keluar minum teh. Balik ke rumah sakit tok makin kuat. Tokwan buat-buat tidak tahu. Saya hairan. Tok panggil saya minta panggilkan tokwan. Tokwan diam bisu.

Minggu seterusnya tok masih lagi sakit. Sekarang sudah tidak kenal siapa lagi. Tokwan masih lagi buat-buat tak tahu. Mertua saya beritahu tokwan buat tebiat. 

Minggu seterusnya tokwan sakit. Dimasukkan ke hospital. Saya bergegas balik ke kampung melihat tokwan. Sebenarnya tokwan tidak suka dibawa ke hospital. Saya dipanggil untuk memujuk tokwan. Saya bawakan suratkhabar. Tokwan mencebik. Tokwan membisu.

Hampir maghrib tokwan bersuara. 
Katanya " tok hang nak pi dah". 
"Pi mana" tanya saya.
"Jauh..." mata tokwan berkaca.

Selepas solat maghrib, isteri saya telefon dengan sendu di hujung talian.
"Tok takdak dah, mai balik bawak tokwan"

Saya memapah tokwan. Tokwan menangis!

Sampai di rumah, dengan salur drip masih lagi di pinggang, tokwan menerpa ke arah jenazah tok. 
"Awat hang pi dulu, awat hang tak bagi aku pi dulu?"

Saya yang memapah tokwan kehilangan kata. Mulut saya masin dengan air mata sendiri.

"Hantar tokwan balik Paq"
"Tokwan tak mau tunggu ka?
"Tunggu buat apa?"

Semua mata memandang ke arah kami. Tokwan duduk di kerusi penumpang dengan pandangan jauh. Sepanjang jalan tokwan membisu. 

Esoknya selepas jenazah tok selesai dikebumikan (tanpa kehadiran tokwan) saya kembali ke wad Hospital Kangar menjaga tokwan. Tokwan tak mahu makan. Tokwan bisu.

40 hari kemudian, ketika sedang makan malam, ibu mertua saya menelefon.
"Paq, tokwan takdak. Dia suruh Paq mai tadi. Mak telefon tak dapat"

Wajah tokwan menerpa ke arah saya. Saya bungkam. Isteri saya meraung.

Selesai majlis tahlil, mak mertua mendekati saya.
"Tadi tokwan merepek sebut nama Paq. Dia nak jumpa Paq. Mak ingat dia merepek saja. Dia sebut nama Paq sampai dia takdak"

Hati saya luluh. Saya faham benar kenapa tokwan sebut nama saya sehingga ke hujung nyawanya. Saya cucu menantunya. Tokwan sangat bangga dengan cucu menantunya, cikgu Muzaffar. Habis dijajanya satu kampung cucu menantunya orang Terengganu. Kerja guru. Beli rumah kat Jitra. Itulah yang selalu diulang-ulangnya. Sehingga sekarang basikal tua tokwan saya naik dengan membayangkan tokwan duduk di belakang dengan seluar katuknya sambil kami menuju ke kedai kopi tepi bendang.

Namun ke hari ini saya masih berfikir mengapa tokwan tidak bertegur sapa dengan tok walaupun keadaan tok tenat. Juga mengapa tokwan tidak bercerita kepada saya apa masalahnya dengan tok. Juga bagaimana tokwan tahu tok akan pergi meninggalkan kami.

Begitulah kisahnya saya dengan tokwan. Kisah tokwan dengan cucunya, orang Terengganu. Kerja guru. Beli rumah kat Jitra.

 "Begitulah kisah cinta orang tua. Cinta tanpa ada hubungan kata. Hanya hati yang bersatu."
 

6 ulasan:

simanis berkata...

Terima kasih abang kerana sudi join segmen saya yang tak seberapa ni... Mudah mudahan arwah mereka berdua ditempatkan di sisi para kekasih Allah...

Loyar Lawa berkata...

sedehhhh

Cikgu Jaja™ berkata...

semoga arwah keduanya di tempatkan dlm kalangan org2 yg beriman..

NURULHANIF berkata...

moga arwah ditempatkan dikalangan org2 yang beriman.. amin..:)

EmpayarUtama berkata...

Oh salam takziah ...

Tanpa Nama berkata...

menangis