13.12.11

Daulat Tuanku

Hari ini satu lagi sejarah negara tercipta, Tuanku Sultan Kedah menaiki takhta sebagai Yang Dipertuan Agung ke 14. Mungkin satu kebetulan agaknya. 41 tahun yang lalu, baginda dilantik sebagai YDPA dengan Tun Abdul Razak sebagai Perdana Menteri. Tarikh pelantikan baginda sama dengan tarikh Tunku Abdul Rahman meletakkan jawatannya sebagai Perdana Menteri Malaysia. Hari ini, baginda sekali lagi dilantik sebagai Ketua Negara dalam usia 83 tahun dengan anak Tun Abdul Razak, Datuk Seri Mohd Najib sebagai Perdana Menteri. Satu kebetulan yang mungkin akan menjamin kemakmuran dan kesejahteraan negara terus berkekalan.



Saya pernah beberapa kali berdepan dengan tuanku Sultan Kedah. Baginda memang seorang individu yang amat berdispilin. Gaya dan lagaknya memang menampakkan baginda seorang yang mementingkan keberadaan baginda di kalangan rakyat jelata. Susuk tubuh baginda masih lagi kemas berbanding dengan usianya. Apabila baginda bertitah, suaranya lembut melambangkan keprihatinan baginda sebagai payung rakyat. Saya amat menyanjung tinggi keperibadian baginda. Dalam satu perbualan saya dengan kakitangan Istana Anak Bukit semasa saya berpeluang ke sana, diceritakan bahawa baginda amat mementingkan ketepatan waktu. Baginda juga mempunyai zoo peribadinya sendiri di dalam kawasan istana.




Tuanku Sultan Mizan juga mempunyai ceritanya sendiri di kalangan orang Jitra. Ini kerana isteri baginda berasal dari Jitra. Mereka berkisah bahawa tuanku seorang yang merendah diri. Kejadian berlaku di sebuah taman perumahan di Jitra iaitu di kediaman isteri baginda. Baginda duduk di buaian di halaman rumah sambil berehat. Jirannya menegur dengan mengatakan bahawa paras tuanku seperti pernah dilihatnya. Baginda hanya tersenyum tanpa memperkenalkan dirinya. Keesokannya, kecoh satu taman bahawa tuanku pernah singgah dan bermalam di situ. Begitulah jiwa seorang raja yang selalu menjadi sanjungan rakyat.



Selamat bertakhta kepada Tuanku Sultan Kedah,  Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah.

Kepada Tuanku Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin, sembah kasih di atas jasa-jasa tuanku memimpin negara.

DAULAT TUANKU!

DAULAT TUANKU!

DAULAT TUANKU!

Tiada ulasan: