7.12.11

Mencari Kelainan Makna Di Sisi Manusia

Seminggu.

Dua minggu.

Cuti sekolah semakin laju meninggalkan masa. Dalam keributan menguruskan kem alam ria cuti sekolah di rumah ini, saya mencari-cari ruang untuk menuliskan sesuatu. Saya baru selesai dua aktiviti yang begitu meninggalkan kesan mendalam kepada sudut pandangan saya terhadap manusia.

Projek pertama ialah Pertandingan Pengisahan Kenegaraan 1 Malaysia. Saya bertanding mewakili negeri Kedah ke peringkat kebangsaan yang diadakan di Kuala Lumpur pada 25 November lalu. Kesudahannya saya hanya mampu merangkul tempat keempat sahaja. Konsep persembahan yang kami bawakan tidak menepati kehendak panel juri. Teater mini monodrama rupa-rupanya asing pada panel juri yang saya kira bukanlah mereka yang terdidik di dalam bidang seni persembahan. Kumpulan yang dipilih ke peringkat final membawakan persembahan berkonsepkan "pidato berirama". Begitu rupanya kehendak panel juri. 

Cikgu Muzaffar di pentas.
 
Kelainan persembahan kami tidak mampu menyentuh pemikiran mereka. Atau mungkin saya tidak akan bertanding lagi. Mungkin itu bukan padang permainan saya. Saya tidak mungkin dapat menyanyi-nyanyi dan menari-nari depan khalayak. Mereka hanya mahu hiburan warna-warni dan bingit muzik penyeri pentas sahaja. Saya tidak ada semua itu. Saya hanya ada sedikit gerak bermakna dan pemikiran. Saya mahu khalayak berfikir sedikit.

Keduanya, saya dan rakan sekolah seramai 40 orang telah menjalankan sedikit tugasan di Bukit Tinggi dan Padang, Sumatera Barat. Kami mengikuti rombongan ke beberapa buah sekolah di sana. Pemerhatian, temuramah dan sedikit soalselidik dilakukan demi melangsaikan tugasan yang diberi. Saya melihat tugasan ini memberi sedikit ruang untuk kami meneliti sistem pendidikan negara Indonesia. Ternyata, sistem mereka begitu berbeza dengan kita di sini. Yang pastinya, semuanya tidak percuma. Kita di Malaysia beruntung kerana semuanya diongkosi oleh pemerintah. Kemudahan pembelajaran mereka juga agak ketinggalan. Mereka mengakui kehebatan sistem pendidikan negara kita.

Menikmati teh botol.

Begitulah saya seminggu dua ini. Dalam keributan menguruskan cuti anak-anak, saya masih perlu menyiapkan tugasan pengajian saya di USM. Tugasan Fiksyen Indonesia Moden membuatkan saya hampir termuntah. Semuanya gara-gara menghabiskan bacaan novel karya Putu Wijaya yang begitu memeningkan akibat permainan plotnya yang bersimpang siur.

Tiada ulasan: