24.3.12

Antara Cikgu Muzaffar dan Kumpulan Caklempong

Baru kali ini saya terfikir untuk menulis berkaitan apa yang saya usahakan di sekolah selama ini. Kita lihat gambar-gambar di bawah dulu.




Kumpulan Caklempong Seri Bitara. Itulah nama kumpulan caklempong yang telah saya asaskan pada tahun 2010. Selama lebih kurang 3 tahun ini, kumpulan ini yang saya asuh dari yang tidak pernah mendengar langsung alunan caklempong sehinggalah sekarang, boleh membuat persembahan di hadapan khalayak. Gambar di atas sebenarnya merupakan generasi ketiga. Mereka terdiri daripada murid-murid tahun 4 hingga tahun 6.

Sepanjang 3 tahun ini, kami telah banyak membuat persembahan di sekitar Kedah. Antaranya sudah 2 kali kami membuat persembahan sempena konvokesyen POLIMAS (Politeknik Sultan Abdul Halim Muadzam Shah. Yang paling membanggakan saya, kami telah diminta untuk membuat persembahan di hadapan Yang Dipertuan Agung sekarang, Tuanku Sultan Kedah. 

Kami turut dijemput untuk memperdengarkan alunan muzik caklempong ini di majlis-majlis rasmi terutamanya majlis anjuran Jabatan pelajaran, Kraftangan Malaysia dan dua tiga agensi kerajaan lain. 

Untuk sampai ke tahap ini bukan mudah sebenarnya. Banyak keringat dan air mata yang tumpah. Ada kala merajuk. Ada kala menyinga. Ada ketika letih. Semuanya menjadi semangat untuk kami terus maju.

Kepada yang berada di sekitar kawasan utara semenanjung, sekiranya ada yang berminat untuk menjemput kami membuat persembahan, bolehlah berhubung dengan saya. Soal bayaran usahlah dirisaukan sangat. Kami bukannya kumpulan profesional yang menjadikan persembahan sebagai kerjaya utama. Yang paling penting hanyalah kos pengangkutan untuk membawa kelengkapan caklempong. Soal yang lain kita boleh rundingkan. Apa yang menjadi keutamaan saya adalah peluang untuk anak didik saya menunjukkan kebolehan mereka kerana saya percaya pendidikan bukan hanya di bilik kelas sahaja. 

Rakaman video di bawah adalah persembahan terbaru kami. Saksikanlah sendiri. Mungkin ada banyak kekurangannya maklumlah kami masih lagi belajar.




Sebenarnya ada dua video. Yang di atas adalah persembahan pacik untuk mengiringi VIP. Sementara persembahan berdurasi lebih kurang 7 minit juga ada bersama-sama di pautan You Tube di atas atau anda boleh klik sahaja ( klik sini.)

2 ulasan:

pencinta ilmu berkata...

Tahniah...teruskan kecemerlangan cikgu dlm mdidik generasi terbilang.

khairul azlan abd majid berkata...

assalam..saya memerlukan caklempong untuk majlis perkahwinan saya nanti...boleh PM detail ke khairul.tsd@gmail.com