17.4.12

Menilai Peribadi Mengikut Tandatangan

Dalam duduk membelek-belek nota-nota kursus, saya terjumpa satu nota berkaitan rahsia tandatangan. Nota ini saya catatkan semasa saya mengikuti kursus di Teluk Intan 2 tahun lepas. Saya masih ingat pensyarah berkenaan, iaitu Encik Zainal dari IPGM Kampus Ipoh sudi meluangkan masa berkongsi sedikit rahsia tandatangan dan kaitannya dengan peribadi seseorang. Ini mungkin hanya sebagai panduan secara sepintas lalu dan tidak boleh dijadikan asas sandaran dalam menilai keperibadian seseorang.

1.Satu garisan di bawah tanda tangan menandakan anda seorang yang sangat yakin namun kadangkala lebih mementingkan diri sendiri. Anda juga mungkin seorang yang mementingkan kebahagiaan dalam hidup lebih daripada segalanya. Kononnya anda juga mempunyai personaliti yang kuat.

2. Dua titik di bawah tanda tangan biasanya merujuk kepada seorang yang romantik. Romantik ada gunanya sebab anda mudah bertukar pasangan. Bagi wanita, anda memang kaki melaram dan ini menyebabkan anda selalu menjadi perhatian orang.

3. Satu titik di bawah tanda tangan menunjukkan anda seorang yang akan mudah hilang kepercayaan pada orang andai anda dikhianati. Namun, anda juga seorang yang kelihatan tenang dan bersahaja.

4. Tiada garisan/titik di bawah tanda tangan adalah tanda anda jenis yang suka ikut kepala sendiri dan asyik mengabaikan pandangan orang lain terhadap diri anda. Sememangnya anda suka menikmati kehidupan dengan cara yang tersendiri.

5. Tanda tangan yang tiada kaitan dengan nama menunjukkan anda suka berselindung di sebalik hakikat sebenar kerana anda selalu berusaha untuk menampakkan diri anda adalah yang terbaik. Anda juga tidak ambil pusing pandangan orang lain disebabkan keyakinan tinggi yang anda miliki.

6. Tanda tangan berasaskan ejaan nama tapi sukar nampak menandakan anda mungkin seorang yang pintar tetapi malas berfikir. Disebabkan itu anda mudah untuk menukar pandangan dalam sekelip mata.

7. Tanda tangan huruf satu-satu, tidak bersambung adalah bukti bahawa anda seorang yang sanggup mengorbankan diri demi kesenangan orang lain kerana sikap anda yang prihatin. Sekali anda terkena, anda akan serik sampai bila-bila.

8. Tanda tangan ikut ejaan nama dengan huruf yang jelas membayangkan bahawa andalah insan yang selalu dicari oleh orang yang di dalam kesusahan kerana anda sememangnya berhati budiman. Walaupun anda tegas namun anda boleh meletakkan diri anda di mana dan dengan siapa sahaja.

Menarik bukan? Itulah analisis yang dibuat oleh pensyarah saya itu. Katanya, kita boleh percaya kepada analisis ini namun jangan sesekali menjadikannya sebagai panduan utama dalam menilai seseorang. Banyak lagi faktor lain yang memungkinkan menjatuhkan hukum pada orang lain. Sekian adanya.


Tandatangan saya. Apa maksudnya?


Tiada ulasan: