23.5.12

Debat Anwar dan Najib selepas KJ dan Rafizi?

Debat antara Khairy Jamaluddin dengan Rafizi Ramli malam tadi menarik perhatian banyak pihak. Bukan seperti pertandingan debat biasa, debat ini bukanlah bertujuan untuk mencari pemenang. Tiada hakim yang dilantik untuk mengadili setiap hujahan yang diberikan. Saya pasti pemenangnya adalah rakyat. Dalam debat ini, banyak angka dan fakta ditaburkan oleh kedua-dua mereka. 

Cumanya, apakah fakta-fakta dan angka-angka tersebut sahih dan boleh diterima pakai? Ini kerana kebiasaannya dalam sesi perdebatan, pendebat akan berfikir sepantas mungkin dan menyusun ayat dengan seberapa segera. Dikhuatiri angka-angka tersebut hanyalah sekadar dipetik untuk menunjukkan sisi kebolehpercayaan khalayak tanpa ada pihak yang mengesahkannya. Sekarang terpulang kepada khalayak untuk menilai sendiri kebenaran fakta-fakta tersebut.

Serang menyerang antara satu sama lain adalah salah satu strategi debat. Dalam hal ini saya melihat banyak serangan dilakukan oleh Rafizi. Sesekali Khairy cuba membalas balik. Dalam sesi serang-menyerang ini saya melihat di sini ada berlaku sedikit ruang yang boleh diperbetulkan kerana tujuan debat adalah untuk mencari penyelesaian dengan cadangan-cadangan yang baik bukannya mengulang-ulang kenyataan yang klise seperti mengaitkan Khairy dengan bapa mentuanya.

Seperti biasa, kehebatan Rafizi seolah-olah dibayangi oleh ketuanya, Anwar Ibrahim. Memang saya akui beliau memang hebat berhujah. Ada beberapa hujahannya memukau saya. Khairy sendiri tidak kurang hebatnya. Walaupun beliau tidak menjawab beberapa soalan, namun itulah kehebatan seorang pendebat. Beliau bijak mencari jawapan selamat.

Khairy Jamaluddin dalam perkara ini merupakan spesis unik dari partinya. Keberaniannya wajar dijadikan contoh kepada para pemimpin Umno yang sehingga kini masih lagi menikus apabila diajak berdebat di dalam isu-isu melibatkan kepentingan rakyat dan negara.

Bagi Rafizi pula, beliau memberikan harapan baru bahawa PKR dan PR juga sudah bersedia untuk menyajikan para pemimpin berkualiti bertaraf antarabangsa yang boleh membawa Malaysia ke tahap yang lebih baik.

Kedua-dua mereka harus dipuji kerana berjaya membina satu iklim baru dalam politik tanah air. Keterbukaan mereka untuk berdebat dengan disaksikan jutaan rakyat adalah satu langkah untuk membina kematangan politik tanah air. Rakyat berpeluang untuk menilai sendiri letak duduknya sesuatu isu yang selama ini banyak dimanipulasikan oleh media tempatan samada di pihak kerajaan mahupun pihak pembangkang.

Cabaran moderator untuk mengadakan debat antara Anwar Ibrahim dengan Najib Tun Razak saya alu-alukan. Saya amat teruja untuk melihat pertembungan mereka berdua walaupun kita sendiri tahu akan kehebatan Anwar dalam berbahasa. Dapat dibayangkan bagaimana Najib terkial-kial untuk menepis serangan Anwar. Namun, Najib sendiri bukanlah calang-calang pengucap. Stail mereka mungkin tidak sama. 

Sehingga ke hari ini, secara peribadi saya tidak dapat melihat siapa calon yang boleh diketengahkan untuk berdebat dengan Anwar walaupun Shabeery Cheek pernah bertembung dengannya dahulu. Khairy mungkin hebat namun pengalaman Anwar mampu menyebabkan Khairy berbuih mulut seperti Shabeery Cheek dahulu. Kita menanti debat seterusnya.

Kepada penganjur, tahniah di atas usaha ini. Keberanian penganjur membuka ruang untuk demokrasi tumbuh subur kerana rakyat Malaysia amat merindukan media yang berintegriti, berkualiti, mempunyai kredibel dan menghayati semangat demokratik dan juga politik hujah.


Tiada ulasan: