6.5.12

Pertandingan Puisi dan Lagu Peringkat Negeri Kedah 2012 - Satu Rumusan Ketua Juri

Seperti yang saya janjikan kepada dua tiga orang kawan-kawan guru sekitar Kedah, hari ini barulah tersisa sedikit masa untuk saya menulis sedikit rumusan daripada Pertandingan Puisi dan Lagu peringkat negeri Kedah yang diadakan pada minggu sudah. 

Salah satu kumpulan yang layak ke peringkat negeri - SMK Syed Mohamed Al-Bukhary 

Sedikit rumusan daripada saya sebagai Ketua Juri bagi bahagian deklamasi ini harus dibaca dari kacamata seorang guru pengiring tanpa ada apa-apa prejudis kerana saya sesungguhnya berkecuali dan tidak menyebelahi mana-mana pihak dalam penjurian saya. Semua aspek penjurian saya berdasarkan sedikit ilmu dan pengalaman saya yang tidak seberapa.

Kami bertiga sebagai juri sebenarnya telah meletakkan satu tahap yang tinggi untuk menilai deklamator. Permulaan perjumpaan kami diisi dengan perbincangan bagaimana rupa bentuk deklamasi yang kami mahukan. Kami sepakat untuk meletakkan satu perimeter berdasarkan keaslian deklamasi dan tidak mahu melihat mana-mana deklamator menyalin gaya deklamator terdahulu. Apa yang kami cari adalah keaslian gaya dan olahan vokal yang tersendiri.

Permulaan yang baik oleh peserta pertama dengan gaya dan mainan vokal yang tidak berlebihan. Kami menyukai stailnya yang tersendiri dan tidak melebih-lebih. Intonasi yang menarik dan kena pada tempat ataupun jedanya. Kami meletakkan beliau sebagai penanda aras kepada peserta berikutnya.

Peserta demi peserta namun kami masih melihat gaya dan vokal yang serupa. Paling menjengkelkan apabila ada peserta yang terlupa bait-bait sajaknya. Dalam deklamasi, penghayatan sangat penting. Cara untuk menghayati sajak adalah dengan menghafalnya namun peserta ini boleh terlupa bahagian yang penting ini. Kami amat bersimpati dengannya.

Secara keseluruhannya boleh saya katakan bahawa deklamasi pada tahun ini sangat sederhana menghampiri tahap mengecewakan. Kemunculan dua tiga orang peserta sedikit sebanyak mengubat kekecewaan kami sebagai juri. Kebanyakan peserta seolah-olah tidak diberi bimbingan yang sepatutnya kerana ada peserta yang menjerit-jerit. Kehebatan deklamasi tidak diukur pada kehebatan deklamatornya menjerit. Perhatikan gaya Pak Samad, lemah lembut namun menusuk walaupun bait-baitnya agak pedas dan sinis.

Cukuplah sedikit rumusan daripada saya. Saya pohon maaf andai ada yang tidak menyetujui pendapat-pendapat saya. Saya bukanlah sehebat Puzi Hadi mahupun Shukri Abdullah namun saya hanya menyempurnakan tanggungjawab saya sebagai Ketua Juri. Insyaallah kita akan berjumpa lagi.

Sebagai panduan, saya ada memetik tulisan daripada Salleh Rahamad (UM) sebagai panduan untuk kita memesrai deklamasi sajak. Sila klik sini

(Sumber gambar : http://smksyedmohamedal-bukhary.blogspot.com.)

Tiada ulasan: