17.5.12

Sebiji Mangga Putik Buat Guru

Semalam semua guru di Malaysia menyambut Hari Guru. Pelbagai acara diatur untuk memeriahkan sambutan. Salah satu acara yang ditunggu-tunggu oleh kebanyakkan guru adalah acara memberi hadiah oleh murid-murid. 

Bercerita tentang hadiah Hari Guru, saya pernah berdepan dengan situasi yang hampir membuatkan air mata jantan saya menitik. Situasi ini berlaku semasa saya menjalani praktikum di sebuah sekolah di daerah Bahau, Negeri Sembilan. Dalam suasana gembira, kanak-kanak mencari guru masing-masing untuk diberikan hadiah. Saya sebagai guru praktikum sudah pasti menerima banyak hadiah. Di satu sudut, saya melihat ada seorang murid saya duduk keseorangan sambil tangannya seolah-olah menyembunyikan sesuatu.  Saya menghampirinya. Mulutnya terkunci rapat apabila saya menegurnya.

Tangannya pantas menghulurkan hadiah kepada saya. Hadiah yang dibungkus kemas dengan helaian suratkhabar itu saya sambut dengan seribu tanda tanya. Apakah hadiahnya?

Saya tidak sabar untuk pulang membuka hadiah tersebut. Sampai sahaja di rumah, hadiah lain saya ketepikan dan terus mengoyak bungkusan hadiah dengan pembalutnya daripada helaian-helaian suratkhabar lama. Saya merungkaikan ikatan tali rafia sebagai pengganti riben.

Saya tersentap apabila bungkusan tersebut dibuka. Airmata saya hampir keluar. 

Sebiji buah mangga putik sebagai hadiah Hari Guru!


Saya terus terbayangkan keadaan murid tersebut. Dengan baju kumal dan kasut rabaknya, dia tersenyum ke arah saya. Saya dapat membayangkan bagaimana dia membungkus hadiah tersebut dengan dikelilingi oleh adik-beradiknya yang lain. Alangkah....

Begitulah tingginya penghargaan dia kepada saya. Dengan sebiji buah mangga putik, dia menghantar perasaan sayangnya kepada saya.

Setiap kali tiba 16 Mei, saya akan teringatkan peristiwa ini. Walaupun hanya sebiji mangga putik, kanak-kanak tidak mahu terlepas peluang untuk meraikannya dengan pemberian hadiah kepada guru kesayangan mereka.

Saya amat beruntung kerana peristiwa ini menyedarkan saya akan nilai kasih sayang seorang kanak-kanak. Saya pasti akan mengingatinya sampai bila-bila.

2 ulasan:

remyhazza berkata...

sedih.... terlalu kanak2 itu menyanjung gurunya.....
bukan hadiah jd taruhan... tapi keikhlasan.....

Tanpa Nama berkata...

tiba2 air mata saya mengalir baca entry cikgu yang ni... sedih sangat...xdpt bygkan kalo sy ada ditempat cikgu time tu..semoga anak itu berjaya satu hari nanti... (kakak aiman farhan jaafar 2intan 2011)