27.6.12

Peniaga Melayu vs Peniaga Cina

Sehari dua ini saya berurusan dengan sebuah syarikat insuran yang dikendalikan oleh pengusaha berbangsa Cina. Selama dua hari saya berurusan dengannya, saya amat tertarik dengan sikap dan layanannya terhadap saya. Tulisan ini bukanlah bertujuan untuk mengagung-agungkan peniaga bangsa Cina. Saya hanya ingin mengongsi sedikit pendapat saya berkenaan mereka. Bukan semua peniaga Cina seperti yang saya jumpa ini. 

Pengalaman berurusan dengan peniaga Melayu membuatkan hati saya terbakar. Baru minggu lepas saya bertengkar dengan seorang peniaga Melayu berkaitan kerosakan pada sofa yang tidak sampai setahun dibeli. Saya terpaksa meninggikan suara kerana dia tidak mengaku kesilapan pekerjanya yang tidak menerangkan perihal berkaitan jaminan sofa tersebut. Hanya apabila saya mengugutnya untuk membawa hal ini kepada pihak Tribunal Tuntutan Pengguna barulah dia mula berlembut. Itulah sikap peniaga Melayu yang tidak pandai menjaga pelanggan.

Hasil perbualan saya dengan isteri, kami bersetuju dengan beberapa perbezaan antara peniaga Melayu dengan peniaga Cina. Kita lihat di bawah.

1. Peniaga Melayu ada sebuah kedai tapi kereta mewah seperti Estima berderet depan rumah sementara peniaga Cina ada 3 buah kedai tapi kereta sebuah sahaja, kadang-kadang Proton Saga 1.3 Magma tahun 1987.

2. Peniaga Melayu pakaian mengalahkan eksekutif Bursa Saham sedangkan apek kedai motor hanya berseluar katuk dan berbaju Pagoda, dalam poket duit berlambak.

3. Peniaga Melayu tak suka pelanggan masuk kedai tengok-tengok barang, kadang-kadang dijelingnya pelanggan sementara peniaga Cina sangat sangat menjaga pelanggan dengan muka manis dan bahasa pun manis.

4. Peniaga Melayu bila sudah berjaya sedikit, solatnya entah ke mana tetapi peniaga Cina pula, makin maju perniagaannya, makin besar tong merah depan kedai.

5. Peniaga Melayu banyak yang ada Phd dan suka santau menyantau sesama sendiri sedangkan peniaga Cina selalu pakat tolong sesama sendiri minta kita ke kedai sebelah kalau barangan yang dicari tiada di kedainya.

Saya fikir cukuplah 5 sahaja. Nanti saya dituduh pengkhianat bangsa pula. Maklumlah sekarang ini isu-isu berkaitan kaum sensitif. Orang Melayu bukankah bangsa yang sensitif?

Namun, saya percaya sedikit sebanyak apa yang saya tuliskan ini ada kebenarannya. Jikalau tidak percaya, bolehlah buat pemerhatian sendiri. Saya sekadar ingin memberikan perbandingan dalam bidang perniagaan sahaja kerana tidak salah kalau kita belajar dari mereka yang lebih berjaya daripada kita. Apa sebenarnya yang ingin saya tekankan adalah persoalan disiplin. Orang Melayu Islam boleh menjadi lebih hebat sekiranya berjaya mengekalkan disiplin Islam dalam setiap bidang terutamanya bidang perniagaan. Tulisan ini lebih kepada sekadar membangkatkan semangat dan daya saing di kalangan peniaga Melayu.

1 ulasan:

mizz RFL berkata...

yup setuju.. pniaga melayu kalau buka kedai ikut suka bila nk buka, kalau pniaga cina awl2 pg lagi da buka..