20.6.12

Ulasan Persembahan Sambutan Hari Guru

Berada di dalam majlis rasmi seringkali membuatkan saya berasa kekok. Kadang-kadang saya berasa mual. Semuanya kerana melihat tingkahlaku khalayak dalam majlis tersebut. Ada yang seolah-olah berada di zonnya sendiri - yang mungkin ditandai dengan pancutan air kencing (seperti yang selalu ditonton di Animal Planet). Ada juga yang amat-amat canggung. Berbagai-bagai kelaku boleh dilihat.

Sebenarnya pagi tadi saya berada di dalam satu majlis rasmi anjuran Pejabat Pelajaran Daerah iaitu majlis sambutan Hari Guru peringkat derah. Kehadiran saya ke majlis itu sebagai penerima anugerah. penyibuk untuk meramaikan majlis.

Jadi saya akan menulis sedikit pendapat saya mengenai majlis tersebut. Bukan untuk merendah-rendahkan majlis tersebut cuma sebagai panduan di masa depan. Saya cuma ingin menyentuh aspek-aspek yang berada dalam lingkungan penguasaan saya sahaja iaitu aspek persembahan dan pengacaraan majlis.

Pertamanya berkaitan pengacara majlis. Pengacara lelaki memang lulus markah 9/10. Dari segi intonasi dan lenggok suaranya sangat bagus. Kawalan suaranya cukup mantap ditambah lagi dengan kebulatan suara aslinya yang tidak dibuat-buat. Entah mengapa apabila pengacara wanitanya membuka mulut, gegendang telinga saya bergegar tanpa ada koma dan noktah. Sangat bingit...! Beliau ada kekuatannya yang tersendiri. Intonasinya sangat cantik dan bersih. Air suaranya mengalir lancar. Tidak menelan perkataan atau nampak tergesa-gesa untuk menghabiskan ayat cuma mungkin kawalan suaranya tidak dapat diterima oleh telinga saya. Saya selalu memegang pendapat bahawa kerja-kerja pengacaraan bukan boleh dibuat oleh sembarangan orang. Pada saya juga, pengacaraan tidak boleh dibuat-buat dengan aturan pergerakan dan lenggok yang dirancang seolah-olah tertulis di dalam skrip bagaimana tangan dan kepala serta mimik muka harus diaturkan.

Persembahan koir wajib ada dalam mana-mana majlis rasmi. Untuk memeriahkan majlis barangkali. Saya difahamkan pasukan koir guru-guru ini tidak mempunyai masa latihan yang mencukupi. Namun, dalam menghambat masa latihan yang sedikit itu, persembahan yang mereka tampilkan sangat berkesan. Dalam usaha saya menghayati satu-satu persembahan, saya suka mencari unsur-unsur kekaguman. Malangnya saya tidak ketemunya dalam persembahan koir ini.

Saya tidaklah berniat untuk mengulas tentang suara mereka kerana itu bukan bidang saya. Saya memberi pendapat dengan melihat secara keseluruhan persembahan mereka. Saya amat memahami situasi mereka kerana saya pernah terlibat sebagai penyanyi koir untuk majlis sebegini. Mungkin pada masa-masa akan datang, mereka boleh memikirkan aspek-aspek keseragaman dalam pergerakan semasa menyanyi. Saya melihat hanya itu ruang yang boleh ditambahkan lagi. Tahniah buat mereka. Ternyata mereka telah membuktikan bahawa masa bukan kekangan untuk menampilkan persembahan yang hebat. Saksikan persembahan mereka di bawah ini. Kreatif...! Lagu Anak Kampung menjadi lagu Azam Guru.




Persembahan seterusnya ialah gerak lakon oleh pegawai-pegawai dari Pejabat Pelajaran Daerah sendiri. Khalayak sangat terhibur dengan aksi-aksi dan dialog-dialog yang dilontarkan. Semuanya seolah-olah berlaku secara spontan tanpa ada skrip yang teliti. Saya menyukai persembahan ini kerana banyak isu-isu berkaitan persekitaran pendidikan di Kubang Pasu disentuh. Pentas barangkali boleh saya katakan banyak dikuasai oleh dua watak sahaja iaitu Bendahara dan Sultan. Mereka berdua banyak memainkan peranan untuk menghidupkan momentum persembahan yang sekejap turun dan sekejap naik. Dinamisnya agak perlahan dengan tempo persembahan yang tersekat-sekat akibat kegemaran mereka kepada tirai yang boleh dibuka tutup secara automatik.

Walaupun pada awalnya saya melihat penonton bertepuk riang namun saya memikirkan bahawa tepukan itu semata-mata kerana mereka melihat pegawai-pegawai tersebut dari sisi lain, barangkali sebagai seorang penghibur di sebalik wajah-wajah serius mereka. Cukup-cukup sahaja persembahan mereka, tidak terlebih dan tidak terkurang kerana kadang-kadang minimalis itu lebih cantik. Persembahan mereka diakhiri dengan mesej yang sangat klise-guru adalah segala-galanya. Mungkin itu kehendak guru sekarang, mahu dikenang jasa mereka, mahu diingat jasa mereka. Tidak ada kesalahan pada mesej itu cuma terlalu berterus-terang.

 Saya mencari subteks-subteks lain yang ingin ditampilkan namun saya hampa kerana persembahan itu lebih kepada usaha untuk menyendal masa sambil hadirin menyantap makanan ringan. Barangkali itu tujuan sebenar persembahan mereka. Barangkali...! Jika itu benar, sayalah orang yang sangat kecewa kerana saya melihat persembahan pentas bukanlah kerja main-main dan harus dikerjakan dengan serius. Banyak aspek yang perlu difikirkan selain daripada memikirkan kostum apa yang harus dipakai, berapa banyak pembesar suara yang harus diguna dan berbagai-bagai persoalan yang remeh temeh. Maafkan saya kerana terlalu serius tentang ini. Secara keseluruhannya, persembahan mereka sangat menghiburkan. Ketepikan segala elemen-elemen artistik kerana persembahan di majlis sebegini hanyalah hiburan ringan semata-mata. Unsur difikirkan secara berat-berat.

Cukup pandangan saya sampai di sini. Usah diambil serius apa yang saya tuliskan. Sekadar pendapat daripada seorang penonton biasa yang tidak punya apa-apa kepentingan. Saya pohon maaf seandainya ada pihak-pihak yang terasa dengan ulasan-ulasan saya. Tiada sekelumit niat untuk merendah-rendahkan usaha-usaha mereka. Tidak sama sekali...! Saya amat berbangga dengan usaha yang mereka tonjolkan.

Catatan hujung : Seorang rakan blogger saya ada dalam video di atas. Siapa dia? Lihat sini.

3 ulasan:

Ticer Syah berkata...

foodies fail.. kakakaka.. bajet kureng taun ni.. kasian

Bung Muzaffar berkata...

bajet makan RM 1.25 sorang....bnyak oooo.....

Ann Ishak berkata...

komen yang menarik...