28.7.12

Apabila Bulan Puasa Menjadi Bulan Makan

Salah satu hikmat kedatangan Ramadan adalah menganjurkan umat Islam agar bersederhana dalam berbelanja terutama untuk persiapan berbuka dan bersahur.

Jika sebelum Ramadan, kita makan empat atau lima kali sehari, tetapi pada bulan ini kita hanya perlu mengeluarkan perbelanjaan untuk dua kali makan sahaja iaitu waktu berbuka dan bersahur. Namun, bagi segelintir daripada kita, perkara sebaliknya pula yang berlaku. Perbelanjaan dapur meningkat berganda berbanding hari-hari biasa. Ramai yang tunduk pada nafsu hingga menyebabkan kepelbagaian juadah berbuka yang disediakan berlebihan sehingga berlaku pembaziran.


Saya menjadi hairan apabila melihat sesetengah orang yang ketika berpuasa kelihatan amat lesu dan tidak bermaya, namun apabila tiba sahaja waktu petang untuk membeli juadah, badan yang lesu tadi sudah menjadi cergas dan kuat. Lantas, pelbagai juadah dibeli sehingga melebihi keperluan yang sepatutnya. 

Mereka seolah-olahnya ingin meng'qada' sarapan pagi, makan tengahari, dan makan petang yang ditinggalkan ketika berpuasa, lalu berlakulah pembaziran yang banyak. Terdapat dalam kalangan masyarakat Islam yang menjadikan waktu berbuka tidak ubah seperti suasana ‘pesta makan’. Mereka seolah-olah berusaha untuk mengubah bulan puasa kepada 'bulan makan'! Sikap yang lebih pentingkan pesta menjamu selera pada bulan ini menyebabkan kesucian Ramadan sebagai bulan ibadat itu tidak dapat dihayati dengan sempurna.  

Bahkan suasana bulan Ramadan di Malaysia menunjukkan betapa damai dan melimpahnya rezeki, sehingga kadang-kala timbulnya pembaziran. Ini berbeza dengan suasana Ramadan di kalangan umat Islam di negara-negara yang terpaksa berdepan dengan pelbagai masalah bencana alam, pergolakan dan krisis dan keamanan.
Sesedap mana makanan itu sekalipun, yang penting ialah keredaan Allah kepada kita dalam menjalani ibadah puasa secara keseluruhannya. 

Makan untuk hidup..!


Hidup untuk makan...?
 

Tiada ulasan: