19.7.12

Kenali Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja

Saban tahun kita selalu tertunggu-tunggu pengisytiharan puasa. Tahukah anda siapa di sebalik tabir yang terlibat dengan pengisytiharan ini? Sudah tentu ramai yang tahu bahawa tugas mengisytiharkan tarikh puasa adalah tanggungjawab Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja.     
Lelaki di dalam petikan video di atas adalah Datuk Syed Danial Syed Ahmad, 66. Beliau telah dilantik sebagai Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja yang baru berkuatkuasa 10 Januari 2012 bagi menggantikan Engku Tan Sri Ibrahim Engku Ngah yang bersara  selepas berkhidmat sebagai Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja selama 22 tahun. 
Datuk Syed Danial Syed Ahmad
Engku Tan Sri Ibrahim Engku Ngah
Kita selalu bertanggapan bahawa Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja hanya berfungsi sebanyak 3 kali setahun  iaitu mengumumkan tarikh Permulaan Puasa, Hari Raya Puasa dan Hari Raya Qurban. Namun tanggapan ini perlu diperbetulkan kerana banyak perkara lain yang dilakukan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-raja selain daripada apa yang kelihatan secara ketara di layar TV untuk menghebahkan tarikh-tarikh Hari Raya Puasa dan Hari Raya Qurban.  Peranan beliau selaku Setiausaha kepada Majlis Raja-Raja (MRR) memerlukan banyak masa untuk mengatur dan mengelola mesyuarat-mesyuarat MRR, yang bersidang antara 3-5 kali setahun. Selain dariapada itu, beliau pada masa ini mewakili Raja-raja dalam Majlis Angkatan Tentera (MAT) dan Lembaga Dewan Bahasa & Pustaka yang masing-masing mengadakan 12-15 mesyuarat setahun. Di samping itu, Pejabatnya juga terlibat dengan pelbagai mesyuarat serta kegiatan yang dianjur oleh Jabatan Perdana Menteri ataupun Istana Negara. 
 
Perlu juga difahami bahawa sekiranya Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja tidak dapat mengisytiharkan Awal Puasa / Hari Raya Puasa, dan Hari Raya Qurban, Penolong Setiausaha Majlis Raja-Raja iaitu Datuk Sabtu bin Awab boleh membuat pengisytiharan tersebut bagi pihak Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja. 
 
Gelaran "Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja" ("The Keeper of the Rulers' Seal"), dibawa jauh dari England ke Malaysia melalui India. Ia berasal dari Britain dan berakar umbi lebih 600 tahun dahulu. Beliau dikenali dengan nama ini memandangkan beliaulah yang menjaga Mohor Besar Raja-raja. Tidak banyak orang yang mengetahui tugas yang dijalankan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-raja ini. Sebenarnya beliau merupakan Setiausaha Majlis Raja-Raja.
Beginilah bentuk mohor besar tersebut.

Tiada ulasan: