14.8.12

Mengapa Sibuk-Sibuk Balik Kampung?

Menyambut hari raya jika tidak di kampung halaman, macam tak sempurna, bahkan dikatakan seperti tidak berhari raya. Sebahagian besar antara kita juga membesar dengan lagu Allahyarham Sudirman, 'Balik Kampung' yang jika lagu ini didengar di luar musim raya, boleh menitiskan air mata, apatah lagi bagi rakyat Malaysia yang berada di luar negara.

Apakah jenis kampung yang menjadi tempat yang sangat dirindui dan menjadi tumpuan pada musim cuti dan perayaan khususnya Hari Raya? Antaranya tempat asal seseorang; tempat seseorang itu dilahirkan; tempat seseorang itu dibesarkan sejak dari kecil atau selepas dilahirkan; tempat yang dihuni oleh ibu/ayah/datuk/ nenek atau saudara mara yang rapat dan tempat yang pernah menyimpan nostalgia kehidupan masa kecil atau keluarga terdekat.

Pemandangan kampung saya yang selalu memanggil pulang

Oleh itu kita tanyalah diri sendiri, di manakah kampung halaman kita atau adakah kita masih punya kampung halaman? Balik kampung sebenarnya ada asas dalam Islam. Ia bukan sekadar satu adat atau budaya orang kita.

Seseorang yang jika masih mempunyai asal usul iaitu ayah dan ibu tetapi tidak rindu kepada mereka atau tidak gemar pulang menziarahi mereka sebenarnya mempunyai sikap angkuh dan tidak bersedia untuk ingat kepada asal-usul kejadiannya.

Bagi yang sudah tidak ada kampung atau tidak ada orang tua lagi, maka perasaan sentiasa ingat kepada mereka dan mendoakan mereka adalah juga manifestasi kepada amalan 'balik kampung' yang banyak faedahnya.

Kita wajar melatih anak-anak supaya ingat kepada orang tua dan kampung halaman. Tunjukkan kepada mereka tempat kita dilahirkan, tempat kita bermain pada waktu kecil dan lain-lain supaya nanti anak-anak kita akan ingat kepada 'usul' mereka iaitu diri kita sendiri.

Saya begitu tersentuh dengan iklan raya daripada Bernas. Semuanya berkaitan balik kampung. Hanya insan berhati kering tidak terjentik perasaannya apabila menonton iklan ini.



1 ulasan:

KakNi (CikNi Ahni) berkata...

Saya balik kampung sebab nak menyambut hari raya bersama ibu ayah dan adik-beradik yang masih tinggal dengan ibu dan ayah. Nak kata rindu kat kampung tak lah pulak sebab tak de apa2 yang nak dirindukan, lagipun tempat bermain ke tempat jatuh ke dah x de.... hanya rindu pada keluarga yang memanggil kami pulang...