9.8.12

Mercun Yang Jahanam

Terasa bagaikan berada di medan perang. Bunyi letupan di sana-sini, bergilir ganti. Sekejap bunyi panjang, sekejap bunyi kuat. Terawih menjadi kurang khusyuk kerana bunyinya tersangat bising. Budaya bermain mercun di kalangan masyarakat Melayu semakin menjadi-jadi. Masyarakat (baca sebagai ibu bapa) seolah-olah menerima bermain mercun ini sebagai sebahagian daripada sambutan Ramadhan dan Aidilfitri. 



Paling menyakitkan hati mereka mengatur strategi peperangan mercun ini tidak mengira tempat ataupun masa.  Perkarangan masjid turut menjadi medan pertempuran. Apa yang menghairankan saya adalah apakah ibu bapa tidak ambil kisah dengan aktiviti bermain mercun oleh anak-anak mereka? 

Sedikit info untuk dikongsi berkaitan dengan undang-undang berkaitan mercun :  

Di bawah seksyen 42 Akta Bahan Letupan 1957, jika disabitkan kesalahan kerana mengilang, memiliki atau mengimport mercun atau bunga api boleh dihukum penjara lima tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Walaupun undang-undang berkaitan mercun wujud, namun isu ini tidak akan berpenghujungnya kerana akan ada pihak-pihak yang membuat keuntungan dengan menjual mercun.

Di tempat saya ini, bekalan mercun amat mudah diperolehi kerana kedudukannya amat dekat dengan sempadan Thailand. Bekalan mercun sudah siap sedia untuk dijual sebelum bulan puasa lagi. Apa yang menjadi persoalannya ialah bagaimana mercun begitu mudah dibawa masuk ke negara kita walaupun penguatkuasaan undang-undang terhadapnya dilaksanakan? Apakah ada tangan-tangan ghaib yang membenarkan kemasukan mercun secara haram ini?

Saya pernah membuat aduan kepada pihak berkuasa berkaitan isu permainan mercun namun apa yang menyedihkan adalah pihak berkuasa memandang ringan isu ini. Mungkinkah ada sesuatu di sebaliknya? Segalanya berkemungkinan. 

1 ulasan:

KakNi (CikNi Ahni) berkata...

Susah lah nak komen hal ni. Bukan pe, suami saya sendiri pun kemain lagi dok ngajo anak2 main mercun bola ni... adoi... saya ni lebih risau kan keselamatan berbanding undang2 tu...