6.8.12

Rahsia Pemakaian Sampin

Untuk melengkapkan persiapan pakaian raya, kaum lelaki akan mencari sampin untuk dipadankan dengan baju Melayu. Sebelum ini saya pernah menulis berkaitan cara pemakaian sampin dan video belajar memakai sampin. Namun begitu, pernahkah kita terfikir apakah maksud di sebalik pemakaian sampin?

Sampin adalah pelengkap Baju Melayu bagi lelaki. Sampin juga dipanggil sebagai ‘samping’yang berasal dari perkataan sampingan. Beza sampin dan kain sarung adalah sampin lebih pendek daripada kain sarung. Sampin biasanya dipakai oleh kaum lelaki Melayu bersama-sama baju Melayu dan seluar panjang. Sampin akan diikat di pinggang di sebelah luar, di atas baju dan seluar atau di sebelah dalam baju. Bahagian kaki sampin dilepas hingga ke lutut atau betis.

 Pada asalnya, sampin lelaki adalah panjang hingga ke buku lali dengan bahagian hadapannya disingkatkan bagi menampakkan seluar di bahagian dalamnya. Mengikut peredaran masa, sampin diikat dan dilipat sehingga ke paras lutut. Ia lebih digemari kerana ringkas dan selesa apabila dipakai.

Setinggi-tingginya falsafah tentang budaya Melayu ini setinggi itu juga falsafah tentang penggunaan sampin. Sampin juga tidak lari dari falsafah prinsip agama Islam itu sendiri. Sampin juga memberi erti bahawa aurat bagi lelaki sehingga ke paras lutut. Selain itu tanpa kita sedari prinsip-prinsip atau mesej-mesej yang di sampaikan oleh datuk nenek moyang kita menerusi baju Melayu tentang Islam juga begitu halus dan unik. 

Sebagai contoh sampin harus dipakai dengan meletakkan lipatan kiri di sebelah bawah dan lipatan kanan di sebelah atas. Prinsip lipatan ini berasal dari perbuatan qiam dalam solat (tangan kiri di bawah tangan kanan). 

Ada juga pendapat yang menyatakan antara falsafah sampin yang lain adalah dengan memakai samping ini dapat mendidik kita supaya menjaga kehormatan diri.

Begitulah betapa tingginya pemikiran orang Melayu terdahulu dalam memancarkan pelbagai falsafah yang boleh dijadikan panduan hidup. Sayangnya, masyarakat Melayu sekarang ini tidak begitu mengambil berat hal-hal yang difikirkan sebagai remeh temeh ini. Semuanya dibuat mengikut peredaran zaman tanpa mengambil kira warisan moyang terdahulu. Sesuatu perlu dilakukan supaya generasi seterusnya dapat mengekalkan warisan dan falsafah pemikiran Melayu.





sumber : Bengkel Pemakaian Sampin dan Setanjak anjuran Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor

3 ulasan:

dapurCikWan berkata...

samping mahal leni awok...sampai ribu riban..

psstt...asang gupal peberet sy.. ;)) hahaha

KakNi (CikNi Ahni) berkata...

Assalamualaikum. Terima kasih ziarah blog saya. ramai orang sekarang pakai sampin setahun sekali jer iaitu di pagi raya, tu pun kalau pakai baju melayu. kalau pakai jubah tak de lar.

sha my heart berkata...

ada falsafah rupanya di sebalik samping.