29.10.12

Apakah Pluralisme Agama?

Pada tahun 2005 Majlis Fatwa Ulama Islam Indonesia (MUI) mengeluarkan fatwa  mengharamkan Pluralisme Agama. Pada tahun 2006, Muzakarah Ulama Se-Malaysia turut mengharamkan fahaman tersebut. Pengharaman tersebut adalah wajar kerana doktrin yang dibawa oleh Pluralisme Agama memang menyesatkan.
 
Pengasas Pluralisme Agama, John Hick, Professor Teologi di Claremont Graduate School California USA mengajarkan semua agama menuju ke satu titik pusat, iaitu  ‘Realiti Tunggal’ (Tuhan) tetapi tuhan itu dijelmakan dalam pelbagai bentuk dan cara tertentu mengikut ajaran agama masing-masing.

Fahaman ini turut dikembangkan oleh sekelompok pemikir Kristian seperti Raimundo Panikkar, Wilfred Cantwell Smith dan Fritjhof Schuon dan John L. Esposito (Dr. Anis Malik Thoha, 2010). 

Tidak kurang juga ramai di kalangan sarjana Islam sendiri menjadi pendukung Islam Liberal. Antaranya bekas professor di Universiti Kahirah (Mesir), Nasr Hamid Abu Zayd, manakala  di Tunisia terdapat tokoh bernama Ali Harb. Sarjan-sarjana Islam lain termasuklah  Sayyed Hussein Nasr, Mohamad Arkoun, Hasan Hanafi dan Amina Wadud.

Di Indonesia, Nurcholish Madjid (Cak Nur) adalah pengasas Islam Liberal yang disertai beberapa tokoh terpelajar seperti Ulil Abshar Abdalla, Abdul Munir Mulkhan, Sukudi, Alwi Shihab, Budhy Munawar rahman, Azyumardi Azra, Nassarudin Umar  dan ramai lagi. Hampir kesemua tokoh-tokoh itu pernah mendapat didikan di negara Barat dan ada yang pernah berkhidmat di institusi-institusi pengajian Barat.

Nurcholish Madjid  telah mengubah makna  Kalimah Syahadah dengan pengertian  “Tidak ada tuhan kecuali Tuhan” dengan tafsiran pengertiannya bahawa menyembah Tuhan yang mana sekali pun adalah benar kerana hakikatnya semuanya menuju ke satu titik pusat, iaitu “Hakikat Yang Tunggal”. Bagi mereka, semua agama adalah cabang-cabang yang berasal dari pohon yang sama.

Di Malaysia, gerakan pluralisme agama belum begitu ketara. Namun, ianya dipercayai mempunyai pengikut di kalangan mereka yang terpelajar dan berpengaruh, khususnya di kalangan mereka yang rapat dengan Barat. Perkara ini pernah didedahkan oleh Dr. Yusri Mohamad dan Dr. Muhammad ‘Uthman El-Muhammady semasa ‘Wacana Membanteras Gerakan Pluralisme Agama dan Pemurtadan Ummah’ tahun 2010. Dalam usaha menyebarkan fahaman pluralisme agama di negara ini, mereka sangat berhati-hati dengan tidak menyebarkannya secara terang-terangan.

Kesimpulan, pluralisme agama mencetuskan banyak percanggahan dalam syariat Islam. Mereka menganggap tidak ada satu pun aspek syariat Islam yang suci kerana menurut mereka  syariat  adalah hasil ciptaan manusia.

Oleh itu, tidak hairanlah aliran ini mengizinkan perkahwinan berlainan agama. Malah, lebih ekstrem lagi mereka turut memperjuangkan hak golongan homoseksual seperti yang diperjuangkan oleh Gerakan Islam Liberal di Indonesia. 
 
Islam menolak faham “pluralisme agama” yang mendakwa bahawa kesemua agama adalah sama baik dan sama benar, kata Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim) Tun Abdullah Ahmad Badawi.
 Beliau berkata, hanya ada satu agama yang memiliki wahyu yang lengkap dan sempurna iaitu Islam, bertepatan dengan beberapa firman Allah SWT, misalnya ayat 3 Surah al-Ma’idah.

Firman Allah SWT bermaksud: Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu ugama kamu dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu dan Aku redha Islam itu menjadi ugama untuk kamu.”

“Walaupun demikian katanya, Islam mengiktiraf bahawa masih terdapat hakikat, kebenaran, kebaikan, dan keindahan etika yang terkandung dalam agama-agama yang lain,” katanya.

Tun Abdullah, bekas perdana menteri, berkata demikian ketika berucap merasmikan Seminar Al-Quran dan Cabaran Pluralisme Agama: Pengajaran Masa Lalu, Keperihalan Semasa dan Hala Tuju Masa Depan di Dewan Besar Ikim, Kuala Lumpur .

Pembaca bolehlah melayari laman-laman lain yang membincangkan isu ini lebih khusus terutamanya di sini. Apa yang saya paparkan hanyalah pendahuluan kepada perbincangan mengenai isu ini.

Tiada ulasan: