28.10.12

Ada Apa Dengan Filem "My Name is Khan" ?



Penayangan filem Hindi lakonan Shah Rukh Khan dan Kajol oleh TV3 pada hari kedua umat Islam menyambut Aidiladha telah menimbulkan pelbagai polemik di kalangan masyarakat. Pihak Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) membantah sekeras-kerasnya penayangan filem ‘My Name Is Khan’tersebut. 

Saya sendiri adalah antara jutaan penonton yang berpeluang menyaksikan penayangan filem tersebut. Pada mulanya saya sendiri tidak menyangka filem tersebut akan menimbulkan kontroversi di kalangan umat Islam di negara kita. Namun apabila filem ini "dibaca", akan kelihatan beberapa subteksnya yang agak mengelirukan pemahaman masyarakat terhadap agama Islam.

Berikut saya petik beberapa pendapat daripada blog ApanamaDotcom yang secara terperinci menjelaskan apa yang dikenalpasti sebagai doktrin pluralisme agama.

Pertamanya adalah babak semasa Khan ketika kecil di mana kehidupannya dikelilingi oleh situasi konflik agama di antara penganut Hindu dan Muslim. Ketika Khan berada di anjung rumahnya, beliau terdengar suara protes dan amarah masyarakat Muslim sedang marah terhadap rusuhan yang berlaku dengan melaungkan kata-kata; “musnahkan dan hancurkan…..” Ungkapan kata ini diulang-ulang oleh Khan di dalam rumahnya. Tiba-tiba beliau dimarahi oleh ibunya (Razia) sambil melarangnya dari terus mengungkap kata-kata tersebut. 

Razia menerangkan kepada Khan tentang hakikat KEBAIKAN dan KEJAHATAN sambil memberikan contoh secara melukis gambar dua karektor berbeza di mana yang satu membawa tongkat (yang kemudian disebut orang jahat) dan orang lain yang membawa lollipop (yang kemudian dianggap sebagai orang baik). Di antara petikan dialog yang diungkapkan oleh ibunya;
“Di dunia ini hanya ada dua perbezaan, iaitu KEBAIKAN dan KEJAHATAN. Baik, jika seseorang itu berbuat kebaikan, dan Jahat sekiranya seseorang itu berbuat kejahatan. Jadi tidak ada Muslim dan Hindu”.
Jika diamati dialog di atas, sudah pasti akan tergambar di fikiran kita DOKTRIN PLURALISME AGAMA yang ingin disampaikan bahawa semua agama adalah sama. Secara umumnya, semua agama di dunia pasti mengajarkan kebaikan di dalamnya. Namun begitu, pendapat ini telah disanggah oleh Allah S.W.T secara total. Malah kita diminta menyakini Islam sebagai Ad-Diin dengan menolak KONSEP tidak ada perbezaan Islam dengan agama yang lain.

Keduanya ialah  sikap Khan yang berkeras untuk menikahi Mandira iaitu seorang ibu tunggal yang menganut agama Hindu. Walaupun beliau sudah diingatkan oleh Zakir (adiknya), bahawa hukum HARAM berkahwin dengan wanita yang berbeza keyakinan dan kepercayaan agama. Namun, Khan memiliki keyakinan bahawa tidak ada yang membezakan antara agama Islam dan Hindu. Sebaliknya, yang ada hanyalah manusia yang BAIK dan manusia yang JAHAT (sebagaimana yang dikatakan oleh ibunya). Tindakan Khan ini sekaligus telah menimbulkan satu perspektif yang salah kepada ajaran Islam dan syariatnya. Perkara ini tidaklah menggemparkan kita, ini kerana pelakon Shah Rukh Khan (Rizvan Khan) sendiri dalam kehidupan realitinya di luar dunia lakonan juga berkahwin dengan Gauri Khan seorang penganut Hindu.

Adegan seterusnya amat kurang menyenangkan hati umat Islam ketika Khan dan Mandira sedang bersembahyang mengikut kepercayaan dan amalan agama masing-masing di mana Khan dengan solatnya di atas sejadah. Manakala Mandira bersembahyang dengan nyalaan lilin dan tokong berhala. Kedua-dua aksi ini telah dicantumkan menjadi SATU adegan dalam SATU upacara sembahyang secara serentak.

Seperkara lagi ialah semasa Khan bersama keluarganya menghadiri majlis memperingati Tragedi 911 anjuran masyarakat bukan Islam. Didapati beliau dan semua tetamu yang hadir menyalakan lilin sebagai simbol BERKABUNG. Amat menjengkelkan apabila diperlihatkan adegan Khan menghulurkan cek sumbangan peribadinya berjumlah USD3,502.50 duit ZAKAT kepada penganjur yang bukan beragama Islam (sedangkan zakat hanya untuk kegunaan orang Islam).  

Adegan ketiga ialah Perjalanan Khan untuk berjumpa Presiden Amerika diteruskan sehingga beliau sampai di wilayah Georgia. Di sana, beliau bertemu Mama Jenny dan Joel (anak lelakinya). Khan telah bermalam di rumah mereka dan turut sama hadir keesokkan harinya ke majlis berkabung dan memperingati perajurit yang mati di medan perang di dalam sebuah gereja. Beliau turut serta menyanyi dan memberikan ucapan di hadapan pengunjung gereja sambil berdoa bersama pemeluk agama lain secara serentak.

Bukankah perbuatan ini adalah HARAM dilakukan? Allah S.W.T telah memberikan amaran keras kepada umat Islam dengan FirmanNya yang bermaksud;
“Katakanlah: “Hai orang-orang kafir, Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah. Dan kamu bukan penyembah Tuhan yang aku sembah. Dan aku tidak pernah menjadi penyembah apa yang kamu sembah, dan kamu tidak pernah (pula) menjadi penyembah Tuhan yang aku sembah. Untukmu agamamu, dan untukkulah, agamaku.”
Surah Al-Kaafirun : Ayat 1 – 6

Mesej yang disampaikan oleh filem ini mungkin boleh diterima bagi mereka yang berfikiran LIBERAL dan mereka yang bersetuju dengan konsep PLURALISME. Namun bagi umat Islam yang kukuh asas KEIMANAN, ianya sangat-sangat bertentangan. Jika Mandira seorang yang beragama Yahudi atau Nasrani ianya mungkin tidak menjadi persoalan besar, kerana ada perbahasan syariat berkenaan dengan Nikah Ahli Kitab. Sebaliknya, Mandira adalah seorang penganut Hindu di mana ianya merupakan agama penyembah berhala dan bukannya dari kalangan Ahli Kitab. Oleh itu, kita perlulah mengambil sikap PEDULI terhadap ancaman Pluralisme Agama yang sentiasa menanti peluang di pintu minda kita untuk mempengaruhi segala tindak tanduk seharian.


Tiada ulasan: