9.11.12

Siput Babi Atau SPPBS ?




 Apa lagi yang boleh saya katakan tentang SPPBS - Sistem Pengurusan Pentaksiran Berasaskan Sekolah. Dari Perlis hinggalah ke Sabah, semua guru yang terlibat dengan sistem on line ini mempunyai tanggapan yang sangat negatif tentangnya. Saya sendiri salah seorang daripada ratusan ribu guru di Malaysia yang terlibat dengan sistem ini. 

Entah apa yang bermain di fikiran pentadbir tertinggi di peringkat Kementerian Pelajaran kerana sehingga ke saat ini, tiada sebarang penambahbaikan untuk mengatasi masalah kelembapan sistem ini. Semalam di dalam akhbar, menteri yang berkaitan hanya menyalahkan guru. Katanya, guru suka membuat kerja pada saat-saat akhir. Kepada pak menteri berkenaan, suka saya nyatakan bahawa dari awal tahun lagi sistem ini sangat lembab, saya ulangi sangat lembab!

Pada awal Februari lagi saya telah memulakan proses memasukkan band pencapaian murid-murid saya namun sehingga ke saat tulisan ini dihasilkan, proses yang sangat lembab itu masih lagi berulang. Untuk pengetahuan pak menteri juga, sekarang jam 7.39 pagi. Selepas solat subuh, 6.15 pagi, sistemnya masih lagi tidak dapat diakses sepenuhnya.Saya telah bermula dari jam 8.30 malam tadi dan saya hanya tidur dua jam sahaja untuk menyiapkan tugasan SPPBS ini.

Pada dasarnya sistem ini sememangnya berpotensi dalam membentuk satu sistem dalam talian yang akan memberi pelbagai impak positif kepada seluruh masyarakat. Namun akibat kurangnya “cakna” okleh pihak kerajaan, saya nampak sistem ini seperti projek tangkap muat dan warga pendidik menjadi kambing hitan atau tikus makmal. Apa yang berlaku sebenarnya?

Namun kalau diikutkan, sebagai orang yang diamanahkan menjadi seorang pendidik, segala penat perit dan halangan perlulah dihadapi dengan cara bijaksana oleh guru yang bertanggungjawab. Jika tidak mahu bertanggungjawab terhadap apa yang telah diamanahkan, tidak akan majulah pendidikan negara.

                                                                            


1 ulasan:

NoorGie berkata...

saya sangat bersetuju..sistem yag berupaya membuatkan guru2 malaysia meroyan....aduhai...