21.12.12

Belajar Daripada Kanak-Kanak (1)

Kanak-kanak adalah satu golongan yang unik. Tidak pernah kita melihat kanak-kanak yang tidak boleh tidur malam kerana memikirkan masalah hutang dua ringgit kepada kawannya. Tidak pernah juga kita melihat kanak-kanak yang tidak lalu makan apabila surat cinta yang diletakkan di bawah meja budak perempuan kelas sebelah, tidak berbalas. Sekarang bandingkan bagaimana jika masalah-masalah seperti ini terjadi kepada golongan orang dewasa seperti kita.

Dari semut di lantai, cicak di siling, sehinggalah kapal terbang di awanan. Mereka mudah terpesona dengan semua benda-benda yang dipandang remeh oleh orang dewasa.

Saya masih ingat ketika saya mahu melangkah ke darjah 1, ayah saya membelikan saya kasut sekolah yang bagi saya sangat murah harganya, berjenama Badminton Master.

Malangnya apabila kita dewasa, kita susah berpuas hati dengan apa yang kita miliki. Agak susah untuk mencari anak-anak muda yang tidak tergila-gilakan kasut Nike atau Adidas. Saya bersyukur kerana saya jenis yang tidak terlalu memilih jenama dalam berpakaian.

Contoh lain, mengapa perlu menukar telefon bimbit pada setiap tahun, padahal telefon yang sedia ada masih lagi elok? Mengapa perlu membeli pakaian baru setiap bulan padahal pakaian yang sedia ada masih lagi tidak rabak? Mengapa perlu sentiasa membeli buku-buku baru padahal buku-buku yang dibeli sebelum ini masih lagi tidak khatam dari kulit ke kulit? 

Kanak-kanak mudah dipuaskan. Itu sebab mereka gembira. Orang dewasa pula susah berasa gembira kerana sentiasa ditipu oleh dunia fatamorgana ini. Elakkan mengejar kesempurnaan dalam hal-hal yang bersifat material ini kerana manusia tidak akan berasa puas selagi syukur tidak menjadi dinding di dalam hati.

Tiada ulasan: