10.12.12

Siapa Kaya?

"Kaya" itu subjektif lagi relatif. Segala apa yang kita belanjakan mungkin dipandang sebagai membazir oleh mereka yang kurang kaya dari kita (padahal kita tidaklah "sekaya" mana pun). Hakikatnya walau gaji setakat RM2,500 sebulan, namun ia adalah lebih kaya, lebih mewah dan lebih bangsawan daripada mereka yang bergaji sekitar RM1,000.

RM2,500 memang kecil di zaman harga makanan dan barang keperluan naik mencanak-canak. Namun dalam situasi di mana 40% rakyat Malaysia bergaji kurang dari RM 1500 sebulan, maka gaya hidup si polan bergaji RM2,500 yang kekadang pekena mocha dan muffin coklat di StarBucks pada pagi minggu; dan juga makan sekeluarga di Pizza Hut sebulan sekali, mungkin dianggap sebagai sangat membazir oleh seorang Pak Jaga beristeri satu dan lima anaknya, yang gajinya sekadar RM1,200 termasuk kerja lebih masa  sedangkan sewa rumahnya pula RM400 sebulan.

Ketahuilah bahawa sebenarnya sama ada gaji sekadar RM1,000 atau RM10,000, kita semua berpotensi untuk menjadi seorang pembazir. Orang berada, bila melabuhkan kepalanya di bantal, mungkin akan menganyam mimpi untuk memiliki Ferrari walau di halaman rumahnya sudah pun dihinggap oleh BMW 3 series. Yang gajinya sekadar RM1,000 pula, ligat berazam untuk mengumpul dana dari gaji bulanan demi menceraikan Kancil dan lantas menikahi Exora Bold.

Tiada ulasan: