31.1.13

Cantik Tiada Makna


Saya bercakap tentang segelintir wanita yang suka menjadikan kecantikan mereka sebagai modal untuk bahagia. Maka saya katakan tidak.Besar mana sangatlah nilai cantik itu dalam rumahtangga? Malanglah kalau seorang gadis tidak kisah dengan kekemasan dirinya, kekemasan tempat tinggalnya, kemahiran membuat kerja rumahnya, kemalasan yang berakar umbi dalam dirinya dan segala perangai negatif yang lain, dengan beranggapan bahawa dia cantik, dan dia akan bahagia. Dia akan beroleh suami yang sayangkan dia dan tidak kisah dengan sikap negatif yang ada padanya.
Saya katakan bahawa wanita sedemikian adalah wanita yang malang.Cuba anda lihat contoh seorang suami yang pulang dari kerja dalam kepenatan, dia bukan hanya mahukan senyuman anda di muka pintu, atau segelas air yang anda hulurkan. Dia mahukan anda memahami dirinya. Ada banyak cara lelaki minta difahami. Antaranya adalah dengan tidak menambahkan kepenatannya dengan soalan-soalan bodoh atau kerenah-kerenah yang menyakitkan hati.
Cuba bayangkan, kalau seorang isteri yang hanya cantik tetapi tidak cerdik dan tidak matang. Suami pulang disambut dengan senyuman menawan, pakaian cantik dan wangi semerbak. Tetapi belumpun sempat suami duduk di sofa, mulutnya sudah berceloteh itu dan ini. Katakan sebelum suami pulang tadi, ada berita buruk yang diterima atau ada masalah yang berlaku. Masa itu jugalah semuanya diluahkan pada sang suami, yang masih terkial-kial menghilangkan penat. Dalam situasi tersebut, pertengkaran mungkin terjadi. Waktu itu, dia tidak kisah pun walau anda secantik bidadari.
Situasi yang lain. Suami seorang yang aktif, suka berfikir, banyak idea dan gemar berhujah. Suami sukakan percambahan idea dan mahukan teman berfikir yang matang. Bagaimana jika isteri hanya cantik, tetapi setiap lontaran suami tidak bersambut? Suami bercakap tentang perancangan keluarga, isteri hanya mengangguk dan mengiyakan. Suami bercakap tentang strategi kewangan keluarga, isteri hanya mengikut dan mengiyakan.Lama kelamaan, pertengkaran boleh berlaku dan pada waktu itu juga, cantik tiada makna !