21.3.13

Panduan Mencipta Pantun Untuk Pesta Pantun



Perbendaharaan kata

Untuk belajar mencipta sesebuah pantun jenis empat kerat, perbendaharaan kata hendaklah diperbanyak  dengan menyenaraikan perkataan-perkataan tertentu. Misalnya, dengan  menyenaraikan nama-nama bunga, tempat, ikan, binatang, burung, sungai, gunung, pulau, laut. Kita juga mempelajari kisah-kisah sejarah, nama tumbuhan serta tanaman, jenis-jenis anasir alam. Selain itu, nama-nama benda, perhiasan, perkakas dan lain-lain lagi. Senaraikan rima akhir yang serupa. contohnya seperti yang berikut ini :
(BA... BAU)
rimba, kesumba, lumba..............
sebab, rebab, lembab.....
merbah, kubah, jubah.....
abai, lebai, lambai.........
semerbak, tombak, lambak...
sambal, gubal, bebal......
sembam, lebam, tembam.....
tamban, reban, bemban......
rembang, mambang, kembang...
bubar, gebar, rembas.....
babas, kibas, rembas..
ubat, nobat, bebat........
kerbau, imbau, taktibau....
Senarai perkataan BA sehingga BAU yang dikumpulkan hendaklah disambungdengan BI pula sampai Z. lain BU dan BO. Setelah tamat  fasal huruf B kita beralih ke huruf  C pula. Seterusnya D hingga akhir abjad yang sesuai.

b)       Pembayang Sampiran
Sebelum kita mencipta sesebuah pantun, sepatutnya kita berlatih menyusun kalimat 8-12 suku kata dengan pembayangnya sahaja, tanpa memikirkan maksudnya. Latihan mencipta pembayang itu dilakukan dengan menggunakan kemahiran mengumpulperbendaharaan kata.

Pertama, berlatih membuat dua baris pembayang tersebut, umpamanya, kita cari rima 
akhirnya dulu. Katakanlah hujungnya berima ra dan ti. Kita cuba pilih nama-nama pohon atau tumbuh-tumbuhan:
Sungguh rendang pohon almera,
Rendang lagi pohonnya geti;
Kita cuba pula mencari anasir alam yang hujung perkataan  ru dan ga.
Menjelang senja langit membiru,
Berbaur putih warnanya mega;

Begitulah seterusnya, kita cuba pelbagai rima akhir, kita padukan dua-dua baris. Kita pilih sebarang bunyi. Katakanlah, da dengan ki, mang dengan pung, wan dengan lang, sa dengan su dan lain-lain lagi.
Tanpa bunyi hujung kalimat boleh juga secara spontan seberapa banyak pasangan kata yang boleh, misalnya:

Ke  Pulau Payar di pagi hari,
Buat mengail ikan galama;

Nampak menghijau huma seberang,
Daun padi subur sekali.

Haruman taman bunga berkembang,
Bunga melati kuntum berseri.

c)        Teknik mencari maksud

Sebelum kita mencipta pantun, kita mesti mengetahui tema atau  maksud pantun iaitu isi pantun, misalnya:
Bila rindu menderu di kalbu,
Rasa mengalir si air mata.
Tabahkan hati kuatkan iman,
Baru sempurna meniti hidup.

d)       Mencipta Pantun

Apabila kita sudah mahir mencari pembayang dan  menyusun maksud / isi maka kita bolehlah terus mencipta pantun. Mula-mula kita cipta pembayangnya. Dengan mengutamakan dahulu rima akhirnya sahaja iaitu ab ab. Kita padankan  kesesuaiannya, rima hujung baris pertama itu mestilah sama dengan baris ketiga. Begitu juga untuk rima  baris kedua dan baris keempat. Sekiranya maksud pantun ialah,

Hari raya disambut bersama,
Penuh takwa seikhlas hati.
Rima akhir  ma dan ti,   Jadi kita mesti mencari pembayang yang berima ma dan ti juga,  contohnya:

Terbang berligar si rama-rama,
Lalu menyeri si bunga melati.
Kalau diulang terjadilah :
Terbang berligar si rama-rama,
Lalu menyeri si bunga melati;
 Hari raya disambut bersama,
Penuh takwa seikhlas hati.

Rima hujungnya memang abab iaitu ma dengan ti tetapi bunyi rima  tengahnya masih tidak sama kerana berligar dengan raya dan menyeri dengan takwa. Kita mesti mencari pasangan pembayang yang  sama dengan maksud yang tersedia itu.

Indah warna si rama-rama,
Cantik juga si bunga melati;

Hari raya disambut bersama,
Penuh takwa seikhlas hati.
Kita boleh juga mencipta pembayang yang lain untuk disesuaikan dengan maksud pantun kita tadi, misalnya:

                        Tenangnya paya di tengah huma,
                                 Pinggiran rawa hujungan titi;
                        Hari raya disambut bersama,
                                 Penuh takwa seikhlas hati.

B.          MENJUAL PANTUN

Hanya satu soalan sahaja untuk setiap pantun yang dijual. Pantun yang dijual  mestilah jelas.Ciptalah Pantun yang  jelas sehingga mudah  difahami tetapi sukar  dijawab oleh pihak lawan.

C.        MEMBELI PANTUN
Untuk membeli  pantun adalah amat penting semasa pertandingan, andainya pantun yang dijual  tidak dapat dibeli maka sudah pasti banyak markah akan dipotong. Perkara penting yang perlu diberi perhatian semasa   membeli pantun ialah:
i.              Dengar betul-betul pantun yang ditanya,
ii.            Sekiranya  soalannya agak sukar difahami, ambil mana-mana  perkataan sahaja yang kita fahami, ulas yang patut,
iii.           Setelah mencari  isi jawapan, sesuaikan maksud pantun dengan pembayang,
iv.           Seboleh-bolehnya jawab secepat yang mungkin, jangan sampai hampir lupus masa yang diperuntukkan,
v.            Jawab dengan jelas dan teratur.





Tiada ulasan: