5.4.15

Faham Bahasa

Rukun dalam sebuah dakyah bahasa yang saya  anuti :


1) Eja setiap perkataan dengan betul walau serojak mana pun ia

Sejak mula menulis blog, saya berusaha memastikan setiap perkataan dieja dengan betul. 

Di internet khususnya, antara sebab utama mengapa kita wajib mengeja dengan betul adalah kerana ia memudahkan proses penyampaian dan pemindahan ilmu di kalangan para penutur bahasa yang berbeza.

Jika dibandingkan dengan Babel Fish, saya mendapati Google Translate adalah bidaah terbaik dan terpenting dalam aspek bahasa di era internet ini. Google Translate telah memudahkan proses pemahaman saya terhadap beberapa teks berbahasa Arab, Perancis dan Jepun yang pernah saya selisihi.


Semestinya, terjemahan komputer tidaklah setepat mana. Namun dengan berbekalkan sejemput common senseeducated guess dan logik, kita hampir sahaja boleh memahami keseluruhan isi kandungannya. Lebih-lebih lagi apabila ia melibatkan pertukaran bahasa penting dunia; misalnya daripada Spanish kepada English. Sepanjang pemerhatian saya pula, proses terjemahan itu semakin mantap dari masa ke semasa.


Di samping itu, Google Translate turut memiliki fungsi untuk mencadangkan terjemahan yang lebih baik (perhatikan Suggest a better translation):


Terjemahan kepada artikel Mengapa Dewan Rakyat Unik?


Maka sebagai persediaan, saya menyeru anda agar mengeja setiap perkataan dengan betul. Demi proses penyebaran maklumat dan ilmu merentasi bahasa, bermulalah dari sekarang.

Sila eja tiada, bukan xde. Sila eja saya, bukan sy atau sayer. Sila eja makan, bukan mknMakanapabila diterjemahkan ke dalam Bahasa Inggeris akan menjadi eat; tetapi kalau mkn, mahu diterjemahkan sebagai apa?

Selain ejaan, tanda baca juga harus digunakan dengan betul. Contohnya ayat seperti:
nama saya tawel... saya suka makan karipap.sedap tau! Awak suka tak???
wajib ditulis seperti ini:
Nama saya Tawel. Saya suka makan karipap. Sedap tau! Awak suka tak?
Sepanjang saya berblog, seingat saya sudah ada 2 orang penutur bukan Bahasa Malaysia yang cuba mencerna (iaitu: bukan sekadar melihat) isi kandungan blog ini. Pertama oleh Lost Fish:
... Back to point. I think I've finally found a blog worth reading that I'm really interested in following, and even more surprised (at myself) that it's in Malay! Apparently my grasp of Malay isn't that terrible. I could not only see the quality of writing and the command of the language (in the written form in the least) in your posts but I could understand what was written and I would like to believe that I could follow some of the train of thought or at least grasp some of what was trying to be communicated. And without much difficulty! ...
What language is this, I am trying to translate.

Pengajarannya, setiap tulisan yang kita hasilkan berkemungkinan besar boleh diambil manfaatnya oleh orang yang tidak sebahasa dengan kita. Justeru, bantu mereka dengan mengeja setiap kalimah dengan betul.

Khalas!

Gunakan istilah-istilah baru bersifat organik di dalam penulisan tidak formal

Menulis blog telah memberikan saya ruang untuk melakukan eksperimentasi bahasa. Ruang ini tidak mungkin saya gapai jika saya menulis di akhbar atau majalah yang sudah tentu terikat dengan gaya penulisan formal.

Seraya itu tiadalah saya malu tersipu-sipu untuk mengembleng istilah-istilah baru dan popular seperti poyoskodengmasyukcikaikantoiusha dan sebagainya di blog ini. Istilah sengal yang lazimnya dikaitkan dengan masalah otot pula, baru-baru ini saya gunakannya sebagai satu kata sifat[1]. Tujuan saya menggunakan istilah-istilah tersebut adalah kerana sifat kelahirannya yangorganik.

Untuk memahami apakah erti 'organik' ini, lebih mudah untuk kita melihat maksud 'makanan organik'. Makanan organik adalah makanan yang dihasilkan secara fitrah; ia tidak memerlukan agen luaran yang tidak asli. Maka 'ayam organik' bermaksud ayam yang dibesarkan tanpa pengaruh hormon tambahan. 'Sayuran organik' pula tumbuh tanpa perlu diberi baja sintetik dan disembur dengan pestisid.

Dalam konteks 'istilah organik', maksudnya ia hadir dalam kelompok masyarakat, tanpa perlu untuk kita meminjam istilah-istilah asing. Acapkali kita sendiri pun tidak pasti dari mana ia datang, bagaimana ia wujud dan mengapa semakin ramai orang memilih untuk menggunakannya.

Apa yang sedang saya utarakan ini sebenarnya adalah berkaitan dengan etimologi. Tanpa perlu untuk kita memahami panjang lebar apakah itu etimologi, maka cukuplah dengan saya mendefinisikannya sebagai satu cabang ilmu tentang asal-usul perkataan dalam sesebuah bahasa.

Dengan memahami etimologi, kita akan lebih menghargai kewujudan istilah-istilah baru dalam bahasa kita; sama ada ia bersifat organik atau pun dipinjam daripada bahasa lain. Para mujahid dan mujahidah bahasa yang sinikal terhadap penggunaan istilah poyoskodengmasyukcikai,kantoiusha dan sebagainya dalam pertuturan seharian, sebenarnya telah bersifat sangat tidak realistik. Hujah tipikal mereka: Istilah-istilah tersebut tiada dalam Kamus Dewan.

Benar ia tiada di dalam Kamus Dewan. Namun sejak bila pula kamus menentukan istilah apa yang hendak manusia gunakan di dalam bahasa sesebuah bangsa? Kamus itu sifatnya sekadar untuk mengumpulkan istilah-istilah yang bergentayangan di dalam masyarakat. Maksudnya, mesti ada istilah dahulu sebelum terbitnya kamus.

Selain itu, kamus turut berperanan untuk menyelaraskan ejaan piawai bagi sesebuah istilah [2]. Contohnya jika 'skodeng' akan dimuatkan ke dalam Kamus Dewan edisi berikutnya, maka bagaimana mahu mengejanya? Skodengsekodeng atau skoding?

Kamus wujud apabila sistem tulisan wujud. Sistem tulisan pula adalah antara ciri sebuah masyarakat bertamadun. Oleh sebab itu kesemua tamadun-tamadun awal dunia mempunyai sistem tulisannya yang tersendiri: Tamadun Mesir dengan sistem tulisan heiroglif, Tamadun Lembah Indus dengan skrip Indus dan Tamadun Sumeria dengan cuneiform.

Dengan kata lain, sebelum manusia membentuk tamadun, mereka tiada sistem tulisan, tiada kamus dan tiada badan-badan bahasa untuk memantau istilah yang digunakan oleh masyarakat. Lalu sebelum terbentuknya itu semua, siapakah yang menentukan hidup mati sekalian perbendaharaan kata di dalam bahasa tersebut?

Jawapannya tidak lain tidak bukan; iaitu masyarakat itu sendiri. Mereka lah yang menentukan istilah-istilah yang sifatnya datang dan pergi itu. Proses primitif ini masih berlaku pada dunia moden hari ini dan akan terus berlaku sehinggalah ke hari kiamat.

Tiada ulasan: